Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia hari ini mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat terakhir bagi tahun 2025 yang fokus kepada penilaian semula prestasi pilihan raya terkini serta perancangan rapi untuk menghadapi kemungkinan siri pilihan raya negeri dan nasional tahun depan.

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, berkata bahawa walaupun keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini tidak mencapai sasaran, parti itu tetap menghormati suara rakyat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pemenang serta parti-parti gabungan yang berjaya membentuk mandat.

Menurutnya, beberapa faktor menyumbang kepada prestasi kurang memberangsangkan kali ini, termasuk kecenderungan pengundi terhadap parti-parti tempatan serta kekangan sumber parti seperti bahan kempen, logistik dan sokongan kewangan.

Dalam pada itu, beliau tetap merakamkan penghargaan kepada semua calon dan jentera pilihan raya yang telah bekerja keras sepanjang tempoh kempen, dan menegaskan bahawa Gerakan tidak akan berputus asa walaupun berdepan cabaran.

Dalam masa yang sama, Dominic menegaskan komitmen GERAKAN untuk meneruskan perkhidmatan di kawasan tumpuan Sabah, khususnya Luyang, Tanjong Papat dan Elopura.

Katanya, usaha memperkukuh hubungan dengan akar umbi akan diteruskan, termasuk memastikan calon serta pasukan parti turun padang, mendengar suara rakyat dan melaksanakan janji perkhidmatan.

Mengulas mengenai persediaan tahun 2026, beliau menjangkakan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor berkemungkinan diadakan serentak dan tidak menolak kemungkinan ia berlangsung seiring dengan Pilihan Raya Umum.

Justeru, bagi menghadapi senario ini, Gerakan telah menyusun Pelan Perkhidmatan Kawasan Sepanjang Tahun 2026 yang akan bermula pada Januari, termasuk proses penyediaan senarai pendek calon dan pengukuhan jentera di peringkat akar umbi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast