PUTRAJAYA – Semua keperluan kewangan mengenai isu pertikaian melibatkan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah pun diselesaikan lebih awal oleh Kerajaan Pusat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bayaran berkenaan telah dilunaskan sepenuhnya namun terdapat beberapa perkara susulan yang didakwa tidak dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekali gus menimbulkan kekeliruan berhubung status urusan tanah terbabit.
“Petang ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dijadualkan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Terengganu bagi memastikan segala komitmen yang telah dipenuhi oleh kerajaan Persekutuan dapat ditindak susul dengan segera oleh pihak kerajaan negeri,” katanya kepada media selepas Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Majlis sambutan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
Fahmi menambah, perbincangan itu dijangka memberi penyelesaian lebih jelas mengenai pelaksanaan perkara-perkara berkaitan tanah FELDA yang masih tertangguh.
Semalam, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed dipetik berkata, tuntutan Kerajaan Negeri Terengganu dalam pertikaian dengan Felda bukan sesuatu yang baharu atau berlebihan tetapi merupakan hak sah yang telah tertangguh terlalu lama.
Katanya, penyelesaian segera dan menyeluruh dalam isu itu amat diperlukan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi negeri itu.
Menjelaskan lebih lanjut, ujar beliau, sepanjang lebih empat dekad operasi Felda di tanah-tanah milik kerajaan negeri itu, bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan 30 peratus kepada kerajaan negeri masih belum diselesaikan.
Ia tambahnya, melibatkan anggaran tunggakan mencecah RM600 juta walaupun Felda mencatatkan keuntungan besar setiap tahun.
Lebih membimbangkan, tanah-tanah itu telah dipajak dan diisytiharkan sebagai aset dalam penyenaraian Bursa Malaysia sedangkan status hak milik tidak pernah bertukar tangan.
Penyenaraian sebagai aset Felda itu, tegas Ahmad Amzad, adalah tidak wajar kerana tanah tersebut kekal sebagai milik Kerajaan Negeri Terengganu. – MalaysiaGazette
















