KUALA LUMPUR – Mesyuarat jemaah Menteri hari ini memutuskan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi penelitian lanjut, selaras dengan Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu turut membolehkan usul berkaitan yang sebelum ini dibentangkan di Dewan Rakyat disesuaikan mengikut aturan supaya proses rujukan dibuat secara rasmi.
“Jemaah Menteri hari ini telah membuat keputusan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Azalina, penyesuaian usul itu penting untuk memastikan proses rujukan selaras dengan ketetapan dan bidang kuasa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan seperti yang digariskan di bawah peraturan Dewan Rakyat.
Beliau berkata, keputusan tersebut juga mengambil kira pandangan yang dibangkitkan sepanjang sesi perbahasan, termasuk keperluan memberi ruang kepada Takiyuddin untuk didengar oleh jawatankuasa berkenaan.
“Ia juga bagi membolehkan sebarang dapatan dibuat Jawatankuasa tersebut yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” jelasnya.
Azalina menambah, kerajaan mahu memastikan proses penelitian itu berjalan dengan telus, profesional dan berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban institusi Parlimen.
Katanya, kerajaan yakin Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan melaksanakan tugas tersebut dengan penuh integriti dan kebebasan seperti yang diamanahkan oleh Dewan.
“Kerajaan Madani percaya Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti,” ujarnya.
Beliau menegaskan kerajaan komited memelihara kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, di samping memastikan setiap isu berbangkit ditangani dalam kerangka demokrasi berparlimen.
Semalam, usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan susulan kenyataannya yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila dengan peristiwa Memali ditangguhkan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah ketika menggulung usul berkenaan di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette
















