KUALA LUMPUR – Pas Selangor menyambut baik keputusan AirAsia yang membenarkan anak kapal wanita Muslim untuk memakai hijab di seluruh rangkaian penerbangan syarikat.
Langkah yang bermakna itu mengangkat dan memperkukuh hak wanita Muslim untuk mengamalkan ajaran Islam dengan penuh yakin di tempat kerja, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta identiti Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Muslim.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, walaupun perubahan itu telah lama dinantikan namun pihaknya memahami dasar korporat sering dipengaruhi oleh penjenamaan global dan standard industri penerbangan antarabangsa.

“Namun yang lebih utama ialah AirAsia telah melakukan pembetulan yang tepat pada masa yang tepat demi menghormati maruah dan nilai pekerja.
“Keputusan ini membawa mesej jelas bahawa profesionalisme dan komitmen terhadap agama boleh berjalan seiring. Ia juga memberikan galakan yang besar kepada lebih ramai wanita Muslim untuk menceburi kerjaya penerbangan tanpa rasa terpaksa memilih antara kerjaya dan prinsip hidup mereka,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohamed Sukri, Pas Selangor turut berpandangan agensi kerajaan perlu terus memperkukuh garis panduan dan penguatkuasaan berkaitan pemakaian serta hak beragama di tempat kerja, agar semua pekerja dilindungi daripada sebarang bentuk diskriminasi.
“Pendekatan AirAsia ini diyakini akan meningkatkan keyakinan rakyat serta mengukuhkan imej syarikat sebagai entiti perniagaan Malaysia yang memahami aspirasi masyarakat.
“Semoga lebih banyak syarikat lain mencontohi langkah ini dengan lebih terbuka terhadap kepelbagaian agama dan budaya dalam negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















