BUTTERWORTH – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap kenalannya pada November lalu.
Tertuduh, Mohamad Azuddin Sabran, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Tertuduh antara 13 lelaki yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat sauna yang dijadikan lokasi aktiviti hubungan songsang.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan memasukkan zakar ke dalam dubur seorang lelaki berusia 57 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 7 malam di premis Unique Two Recreation Centre di Jalan Perai Jaya 4, Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah dekat sini, pada 29 November lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sampai 20 tahun dan disebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Ketika prosiding Nurul Aini tidak menawarkan jaminan dengan alasan ia kesalahan yang tidak boleh dijamin serta kesalahan seksual.
Bagaimanapun, YBGK memohon budi bicara mahkamah dengan membenarkan anak guamnya diberi jaminan bersyarat selain mengambil kira faktor tertuduh memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan.
“Dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Bayan Lepas dengan pendapatan RM1,700 dan sekiranya tidak dibenarkan jaminan berisiko kehilangan kerja, malah dia juga tidak berisiko melarikan diri,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 12 Januari depan bagi serahan laporan perubatan dan kimia.
Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas berusia 66 tahun dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) antara 13 lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah pusat sauna yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti hubungan songsang di Jalan Perai Jaya, Perai pada 29 November lalu.
Ketika serbuan jam 7 malam, beberapa pengunjung di tingkat dua premis itu didapati sedang melakukan aktiviti sauna dengan hanya berseluar dalam.
Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa mendapati premis berkenaan dilengkapi dengan ruang rehat, sauna dan beberapa bilik berpartisyen yang dipercayai digunakan untuk aktiviti hubungan sejenis.
Turut ditemui kondom, minyak pelincir serta beberapa peralatan berkaitan aktiviti songsang itu.
Difahamkan pusat sauna itu sudah beroperasi selama lima tahun, namun kegiatan menarik kehadiran pelanggan songsang hanya bermula sejak dua bulan lalu dengan mengenakan caj RM35 bagi setiap kemasukan.
Selain itu, premis berkenaan turut memaparkan gambar panduan berfungsi sebagai kod komunikasi dalam kalangan pengunjung untuk mengenal pasti kecenderungan pasangan melalui pemakaian gelang tangan atau gelang kaki. – MalaysiaGazette















