PUTRAJAYA – Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara adalah sesuatu yang langsung tidak pernah difikirkan.
Malah, pelantikannya itu turut mengejutkan isterinya apabila berita itu disampaikan pada 28 Julai lalu.
“Saya sendiri tidak sangka. Isteri saya pun tidak sangka,” katanya sambil tersenyum.
Detik awal pelantikan beliau yang disifatkan di luar jangkaan itu dikongsikan Wan Ahmad Farid pada sesi ramah mesra bersama pengamal media sempena 100 hari pelantikannya di Istana Kehakiman hari ini.
Menurutnya, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang telah mengesyorkan namanya kepada pihak eksekutif.
Menurut Wan Ahmad Farid, beliau sebenarnya berhak untuk memohon melihat fail JAC yang merekodkan proses syor tersebut, namun secara prinsip memilih untuk tidak berbuat demikian.
“Saya boleh minta untuk melihat fail itu, tetapi saya memilih untuk tidak menyentuhnya. Saya memang tidak mahu melihat fail itu,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan pelantikannya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja seperti diperuntukkan Perlembagaan.
Sebelum menerima jawatan itu, beliau turut menghubungi Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengucapkan tahniah.
“Bagi saya, ucapan itu sudah satu pengiktirafan dan saya perlu melangkah ke hadapan,” ujarnya.
Menolak tanggapan bahawa Ketua Hakim Negara hanya melaksanakan urusan harian pentadbiran, Wan Ahmad Farid menegaskan, beliau komited merangka dasar jangka panjang agar institusi kehakiman mempunyai hala tuju yang konsisten merentasi penggal kepimpinan.
“Apa yang saya lihat, Ketua Hakim Negara datang dan pergi. Tetapi apa yang saya mahu, dalam apa jua tempoh yang tinggal, adalah membentuk dasar jangka panjang seperti sebuah ‘Rancangan Malaysia’ untuk kehakiman termasuk pelan 10 tahun untuk institusi ini,” ujarnya.
Katanya, beberapa aspek akan diberi keutamaan dalam pelan tersebut, termasuk mengurangkan tunggakan kes, meningkatkan kepelbagaian dalam kalangan hakim selain menambah baik kemampuan sesetengah hakim menyiapkan alasan penghakiman dalam masa ditetapkan.
Beliau turut komited memperkukuh pengurusan Bahagian Keluarga Mahkamah Tinggi yang semakin kompleks.
Wan Ahmad Farid turut menegaskan, pembaharuan kehakiman tidak boleh bergantung kepada seorang individu semata-mata.
“Kita perlukan dasar yang boleh diteruskan, bukan sekadar bergantung pada siapa yang menjadi Ketua Hakim Negara,” katanya.
Sesi bersama media itu turut menyaksikan beliau menjawab pelbagai persoalan mengenai peranan JAC, pelantikan hakim baharu, isu etika, serta cabaran pentadbiran mahkamah dalam era yang semakin rumit menandakan pendekatan kepimpinan yang lebih telus. – MalaysiaGazette















