KUALA LUMPUR – Seorang pengguna TikTok, amirmokoo, berkongsi pengalaman peribadinya ketika menjaga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin semasa mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta, Prince Court.
Kisah itu tular selepas beliau memuat naik komen yang menggambarkan sisi berbeza tokoh politik berkenaan.
Menurutnya, sepanjang tempoh Bung Moktar dirawat, Allahyarham banyak meluangkan masa dengan melakukan ibadah termasuk mengaji al-Quran dan menunaikan solat sunat.
“Saya pernah jaga dia (Bung Moktar) dkt (Hospital) Prince Court masa dia admit, sumpah tk sangka dia selama stay dalam bilik, dia kuat mengaji alquran dan solat sunat,” katanya.
Beliau turut menceritakan bagaimana perbualan ringkas bersama Allahyarham meninggalkan kesan mendalam apabila sifat peribadi Bung Moktar jauh berbeza daripada persepsi umum.
“Saya pernah tegur dia ckp dato rupanya warak jga kan, masa tu dia gelak saja kata tkpa org luar ramai bilang dia jahat tp berbeza sungguh apa yg saya nmpk depan mata,” katanya lagi.
Selain itu, amirmokoo berkata, Allahyarham sering menghargai petugas yang menjaganya dengan belanja makan sepanjang tempoh rawatan.
“Terima kasih dato selalu belanja kami makan sepanjang dato admit dlu di prince court,” ujarnya.
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital swasta, awal pagi tadi.
Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas di sini pada Jumaat. – MalaysiaGazette
















