Pekerja binaan merobohkan bahagian yang masih tinggal di East Wing White House bersebelahan kediaman utama semasa proses perobohan diteruskan bagi pembinaan ballroom baharu White House di Washington, DC, 1 Disember 2025. foto AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melantik seorang arkitek baharu untuk projek dewan ballroom White House yang bernilai AS$300 juta.

Jurucakap White House berkata, pelantikan baharu itu dibuat selepas berlaku perbezaan pendapat dengan pereka asal projek tersebut.

Trump dikatakan mempunyai perbezaan pandangan dengan James McCrery, seorang pakar dalam seni bina klasik, termasuk berkaitan hasrat presiden itu untuk membesarkan saiz ballroom.

Presiden Republikan itu kini memilih arkitek Shalom Baranes, yang menurut jurucakap White House, Davis Ingle, “telah membentuk identiti seni bina ibu negara kita selama beberapa dekad.”

“Semasa kita memulakan peralihan ke peringkat seterusnya pembangunan dewan White House, pihak pentadbiran teruja untuk mengumumkan Shalom Baranes untuk menyertai pasukan pakar bagi merealisasikan visi Presiden Trump,” kata Ingle dalam satu kenyataan kepada AFP.

Firma Baranes sebelum ini terlibat dalam projek pemodenan bangunan Perbendaharaan AS berhampiran White House dan pengubahsuaian Pentagon selepas serangan 11 September 2001.

Trump telah merobohkan seluruh East Wing White House untuk memberi laluan kepada ballroom yang mampu menampung 1,000 orang.

Rancangannya menimbulkan kebimbangan, bangunan baharu itu mungkin menonjol melebihi kediaman presiden itu sendiri, salah satu mercu tanda paling dikenali di dunia.

Projek ini, menurut Trump, akan dibiayai sepenuhnya secara persendirian dan belum melalui sebarang semakan awam.

Media AS melaporkan, selain perbezaan mengenai saiz ballroom, Trump juga bimbang firma kecil McCrery mungkin tidak dapat menepati jadual projek.

Namun, seorang individu yang mengetahui projek itu berkata, McCrery akan kekal sebagai “penasihat berharga”, sambil menambah ini bukan penggantian, tetapi lebih kepada penyerahan tanggungjawab sementara projek memasuki fasa baru. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast