Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin menyampaikan Anugerah Media Liputan Cemerlang kepada wakil Malaysia Gazette pada Majlis Makan Malam Persekutuan Pengakap Bersama Media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 6 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik antara Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan media dilihat mampu memainkan peranan besar menyebarkan mesej positif.

Ia termasuk mengenai pembangunan belia, mengetengahkan kisah kejayaan ahli Pengakap serta mengukuhkan pendidikan sivik dan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Langkah itu juga diyakini dapat membantu rakyat memahami pelbagai inisiatif sosial, pendidikan dan kemasyarakatan yang digerakkan Pengakap, sekali gus memperkukuh imej negara melalui jaringan kerjasama antarabangsa.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof. Dr. Mohd Zin Bidin berkata, generasi muda mempunyai potensi besar yang perlu diberi ruang untuk berkembang dan media merupakan salah satu platform penting memastikan potensi tersebut dapat dilihat dan dihargai oleh seluruh masyarakat.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin berucap pada Majlis Makan Malam Persekutuan Pengakap Bersama Media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 6 DISEMBER 2025.

“Anak-anak muda kita memiliki potensi besar. Mereka hanya perlu diberikan platform dan media adalah antara platform tersebut. Pengakap Malaysia komited menyediakan program, latihan dan ruang pembangunan diri.

“Dengan sokongan media, potensi ini boleh disebarkan, disaksikan dan dihargai oleh seluruh masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Media di sini malam ini.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin bergambar bersama media yang hadir pada Majlis Makan Malam Persekutuan Pengakap Bersama Media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 6 DISEMBER 2025.

Pada majlis itu MalaysiaGazette turut menerima Anugerah Media Liputan Cemerlang.

Menurut Mohd Zin, bagi memastikan Pengakap terus relevan dan berimpak, PPM kini melaksanakan beberapa hala tuju strategik, antaranya latihan kepimpinan abad ke-21, pemerkasaan program belia yang lebih kreatif dan responsif, pembangunan bakat muda dalam teknologi, alam sekitar dan inovasi, pengukuhan imej korporat dan jenama Pengakap,

Turut dilaksanakan perluasan jaringan kerja dengan agensi kerajaan, industri dan media memperkukuh integriti tadbir urus serta menyokong usaha pembangunan komuniti dan kelestarian.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin menyampaikan Anugerah Media Liputan Cemerlang kepada wakil Malaysia Gazette pada Majlis Makan Malam Persekutuan Pengakap Bersama Media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 6 DISEMBER 2025.

Beliau menegaskan, kejayaan semua inisiatif tersebut memerlukan sokongan dan kolaborasi media bagi memastikan mesej yang tepat sampai kepada masyarakat serta membina persepsi positif terhadap gerakan Pengakap.

“Kami percaya bahawa masa depan Pengakap, masa depan anak muda dan masa depan negara tidak boleh dipisahkan. Dengan sokongan media, kisah-kisah positif akan terus menjadi inspirasi, suara belia akan terus didengari, usaha Pengakap akan mendapat tempat di hati rakyat dan negara akan terus melangkah ke hadapan dengan generasi muda yang berwibawa,” tambahnya.

Katanya lagi, komitmen PPM untuk terus memperkukuh hubungan dengan media dalam usaha bersama membentuk generasi masa depan yang berdisiplin, berpengetahuan dan berjiwa patriotik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast