KUALA LUMPUR – Beberapa daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Kuala Langat diramal mengalami hujan lebat sehingga pukul 7 malam hari ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia turut memaklumkan bahawa cuaca sama dijangka melanda seluruh Pulau Pinang selain kawasan tertentu di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Menurut agensi itu, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda berlakunya hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih daripada satu jam.
Jelas MetMalaysia, amaran tersebut merupakan amaran jangka pendek yang berkuat kuasa selama maksimum enam jam bagi setiap keluaran.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia, mengikuti saluran media sosial mereka atau memuat turun aplikasi myCuaca bagi memastikan perkembangan cuaca diterima dengan tepat dan segera. – MalaysiaGazette
















