AirAsia membenarkan anak kapal wanita Muslim untuk memakai hijab di seluruh rangkaian penerbangan syarikat.

KUALA LUMPUR – Keputusan AirAsia yang memperkenalkan dasar pakaian seragam baharu yang lebih inklusif apabila membenarkan kru kabin wanitanya memilih untuk memakai hijab ketika bertugas di semua laluan penerbangan disifatkan sebagai langkah progresif dan sangat dialu-alukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan penghargaan serta mengucapkan tahniah kepada syarikat penerbangan itu atas tindakan yang diambil.

“Saya menyambut baik dan mengucapkan tahniah atas keputusan matang oleh pihak pengurusan AirAsia.

“Langkah ini menunjukkan komitmen syarikat terhadap prinsip kepelbagaian, keterangkuman dan penghormatan kepada tuntutan agama dalam kalangan pekerja Muslimah AirAsia,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para asatizah serta semua pihak yang terlibat dalam rundingan dan libat urus bersama AirAsia sehingga dasar baharu itu berjaya dimuktamadkan.

Mohd Na’im berharap keputusan tersebut dapat menjadi contoh kepada syarikat-syarikat korporat lain di Malaysia untuk terus prihatin terhadap hak dan kebebasan pekerja dalam melaksanakan tuntutan agama, selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai Malaysia Madani.

Semalam media melaporkan, AirAsia memberikan lebih banyak pilihan kepada kru kabin wanitanya berhubung kaedah berpakaian ketika bertugas tidak lama lagi apabila boleh memakai hijab sebagai sebahagian daripada uniform merah ikonik syarikat penerbangan itu jika mereka mahu.

AirAsia berkata, perubahan ini mencerminkan tenaga kerjanya yang pelbagai dan bertujuan memberikan kru lebih selesa, yakin dan memiliki kebebasan untuk berpakaian mengikut kepercayaan masing-masing, sama ada mereka menyambut penumpang.

Hijab telah pun dipakai oleh kru AirAsia di laluan tertentu, seperti Jeddah, yang mana peraturan tempatan mewajibkannya.

Pilihan tersebut akan diperluaskan ke seluruh rangkaian penerbangan AirAsia bagi memastikan keseragaman.

Pilihan uniform baharu ini akan menampilkan hijab dan seluar yang direka khas, sepadan dengan uniform merah sedia ada.

AirAsia merancang untuk melaksanakan perubahan ini menjelang Ramadan 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast