Naazron Abdul Yusof.

KUALA LUMPUR – Operasi Mencari dan Menyelamat (OP SAR) seorang remaja yang masih belum ditemui selepas dihanyutkan arus deras di Prima Saujana, Kajang pada Rabu lalu diteruskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof memaklumkan, pasukan penyelamat terus berusaha menjejaki seorang lagi mangsa yang telahpun masuk hari ketiga.

Menurutnya, operasi pada hari ini dibahagikan kepada dua zon pencarian meliputi kawasan sepanjang kira-kira 10 kilometer, bermula dari lokasi kejadian sebelum diteruskan ke Jalan Mendaling dan seterusnya menuju ke Jalan Reko.

“Seramai 65 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Penyelamat di Air (RBM) digerakkan dalam misi tersebut.

“Operasi turut dibantu dua ekor anjing pengesan daripada Unit K9 JBPM dan APM bagi mengesan jejak mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, selain itu, pasukan Skuba JBPM bersama Unit Dron APM serta dua bot jenis Whally diatur gerak bagi melakukan pencarian menyusuri Sungai Langat sehingga ke arah Dengkil.

“Setakat ini, usaha pencarian masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang kanak-kanak dan remaja lelaki dilaporkan hanyut dibawa arus ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, Kajang.

Bagaimanapun, kanak-kanak yang hanyut itu berjaya ditemukan namun, meninggal dunia di Hospital Kajang.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa bersama adiknya sedang bermain bola bersama beberapa rakan lain di padang berhampiran perumahan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast