KUALA LUMPUR – Aktivis seni dan pelukis grafik politik, Fahmi Reza dengan nasa sinis berkata seni kini mempunyai kekuatan untuk menggugat penguasa dan memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang ketidakadilan serta salah guna kuasa.
Dalam satu kenyataan di media sosial, beliau berkata, seni mampu menyelesakan mereka yang terganggu dan mengganggu mereka yang selesa, menggambarkan peranan besar karya kreatif dalam menuntut pertanggungjawaban kerajaan.
“Sebagai seniman rakyat, penting untuk kita tanamkan keberanian untuk bangun melawan rasuah, salahguna kuasa, ketidakadilan dan penindasan, untuk bangkit melawan penguasa yang korup.
“Lebih baik kita berjuang dan kalah, daripada langsung tak berjuang sebab kita takut kalah,” katanya hari ini.
Rabu lalu, Fahmi memaklumkan beliau dipanggil untuk siasatan berhubung satu pelekat yang dipaparkan ketika siaran langsung TikTok “Kelas Demokrasi”.
Polis menerima satu laporan terhadap Fahmi semalam, susulan itu satu siasatan dibuka bawah Seksyen 504 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan manakala Seksyen 505(c) melibatkan kenyataan, khabar angin atau laporan yang disebarkan dengan niat menghasut kesalahan terhadap pihak lain.
Sementara itu, Seksyen 233 AKM pula melibatkan penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian.
Fahmi dipanggil melibatkan siasatan terhadap pelekat tikus coklat berbaju suit bertanda “PM”.
Daalm perkembangan sama, Fahmi berkata, perjuangan tidak seharusnya dihentikan hanya kerana bimbang akan kekalahan, sebaliknya tindakan berani perlu diambil demi kepentingan rakyat.
Beliau turut menyuarakan amaran kepada ahli politik dan mereka yang memegang tampuk kuasa agar tidak menyalahguna kedudukan sehingga menindas rakyat.
“Amaran kepada sang politikus dan penguasa, bukan rakyat yang patut takut dengan kerajaan. Kerajaan yang patut takut dengan rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















