Kesemua mangsa diselamatkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

BUKIT MERTAJAM – Empat wanita yang dilaporkan sesat ketika mendaki Bukit Cherok Tokun di sini berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang berlangsung hampir lima jam, lewat malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya  menerima panggilan kecemasan pada jam 5.47 petang, sebelum pasukan dari BBP Bukit Mertajam digerakkan dan tiba di lokasi 18 minit kemudian.

“Kita terima kejadian membabitkan empat wanita berusia 25 tahun yang sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di hutan tersebut.

“Mangsa turut menghantar lokasi keberadaan melalui aplikasi WhatsApp, sekali gus membantu pasukan menilai radius pencarian sebelum operasi dimulakan.

“Dua mangsa ditemui jam 8 malam dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan sebelum diberi rawatan awal oleh anggota EMRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SAR dibantu oleh pihak polis dan orang awam.

Tambah beliau, pasukan kemudian memperluas pencarian sehingga berjaya menemui baki dua mangsa yang turut berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan pada jam 11.03 malam.

“Kesemua mangsa kemudian dibawa turun ke kaki bukit dengan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“SAR dengan bantuan polis serta orang awam yang berada di kawasan pendakian tersebut tamat sepenuhnya pada 11.40 malam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast