Para perwakilan MCA mendengar ucaptama Wee Ka Siong pada Perhimpunan Agung ke-3 Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA.

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini menegaskan walaupun MCA sering menjadi sasaran serangan politik DAP, parti itu konsisten membetulkan dasar kerajaan yang membebankan rakyat.

Berucap pada Perhimpunan Agung ke-3 Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA, Ka Siong berkata, setiap kali MCA membangkitkan isu yang menjejaskan kepentingan rakyat, pemimpin DAP akan menyerang bagi menutup kelemahan sendiri.

“Setiap kali ada masalah, naratif mereka sama, semua salah MCA, semua salah Wee Ka Siong. Tetapi apabila fakta dibentang, dasar kerajaan akhirnya diperbetulkan,” katanya.

Menurut Wee, hal ini dapat dilihat ketika MCA menegur pelaksanaan e-invois yang membebankan PKS, namun dituduh sebagai ‘pengkhianat’.

Beliau berkata kerajaan akhirnya menerima cadangan MCA dengan menaikkan ambang pengecualian kepada RM1 juta.

“Ini membuktikan teguran MCA berasas dan berpihak kepada rakyat,” tegasnya dengan tepukan gemuruh perwakilan.

Katanya lagi, MCA turut diserang apabila menentang tindakan memaksa penjaja menggunakan isu gas petroleum cecair (LPG) komersial yang lebih mahal.

“DAP tuduh kita menimbulkan ketakutan, tetapi Kabinet akhirnya setuju memberi pengecualian. Suara MCA selari suara rakyat,” ujarnya.

Ka Siong berkata, serangan DAP juga muncul apabila MCA mempersoalkan implikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS (ART) terhadap kedaulatan negara, namun pemimpin Parti Keadilan Rakyat dan bahkan China kemudian menyuarakan kebimbangan yang sama.

“Bila MCA bersuara, kita diserang. Bila orang lain persoal, mereka senyap. Jadi siapa sebenarnya yang mengelirukan rakyat?” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong memberikan contoh lain berkait isu matrikulasi 10A.

Katanya, MCA membawa suara 260 pelajar cemerlang yang dinafikan kemasukan kerana gred A- tidak dikira.

“DAP tuduh kita mempolitikkan isu ini. Tetapi apabila kerajaan membetulkan dasar tersebut, semuanya senyap,” katanya.

Beliau menegaskan corak serangan DAP terhadap MCA bukan kerana MCA salah, tetapi kerana mereka takut parti itu terus mendedahkan percanggahan dasar dan kelemahan dalam kerajaan.

Dakwanya, DAP bimbang MCA mengingatkan rakyat tentang ‘talam dua muka mereka’ parti itu yang sering menjaja memperjuangkan rakyat.

Ka Siong menegaskan MCA tidak akan tunduk atau berdiam diri meskipun berada dalam blok kerajaan perpaduan.

“Apabila dasar baik, kita sokong. Apabila dasar memudaratkan rakyat, kita tidak akan diam. Rakyat mahu pemimpin yang berani bersuara, bukan parti yang tunduk membuta tuli.

“Kita rela jadi jurucakap rakyat daripada bersekongkol dengan pihak yang enggan mengakui kelemahan dasar sendiri,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast