R. Thinalan

KUALA LUMPUR – MIC mendakwa DAP hanya muncul dengan suara lantang ketika kedudukan politik mereka tergugat, bukan ketika rakyat benar-benar memerlukan kepimpinan.

Kritikan itu disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk Thinalan T Rajagopalu, yang berkata pola itu semakin jelas selepas kekalahan memalukan DAP di Sabah.

Menurutnya, kemunculan mendadak beberapa pemimpin DAP dengan kenyataan keras terhadap kerajaan hanyalah reaksi terdesak untuk menutup kegagalan sendiri dan mengalihkan tumpuan masyarakat.

“Amat pelik melihat pemimpin DAP tiba-tiba lantang mengkritik kerajaan selepas kekalahan besar di Sabah, sedangkan ketika rakyat benar-benar memerlukan kepimpinan, mereka memilih untuk diam,” tulisnya dalam Facebook beliau.

Kenyataan ini timbul selepas beberapa pemimpin termasuk dalam kalangan Menteri dan Ahli Parlimen DAP mengeluarkan kenyataan ‘keras’ terhadap kerajaan sejak beberapa hari ini.

Thinalan berkata tragedi tembak di Durian Tunggal menjadi contoh nyata bagaimana DAP gagal bertindak apabila isu melibatkan masyarakat memerlukan perhatian segera.

“Ketika tiga pemuda India Malaysia mati ditembak, DAP senyap. Hanya selepas Datuk Seri M Saravanan menyentuh isu itu barulah mereka tergesa-gesa menterjemah kenyataan dan menunjukkan kononnya prihatin. Polanya jelas, mereka hanya bersuara bila ada kepentingan politik,” tegasnya.

Beliau turut membangkitkan sepanjang hampir tiga tahun berada dalam kerajaan, DAP menikmati kuasa, jawatan dan pengaruh tetapi sumbangan mereka kepada masyarakat amat terhad.

“Mereka tidak konsisten, tidak bersungguh dan tidak menunjukkan tindakan yang memberi kesan. Kini apabila mereka mula terasa sokongan semakin merosot di seluruh negara, tiba-tiba mereka kembali dengan nada agresif,” ujarnya.

Thinalan berkata tindakan terbaru DAP bukanlah reformasi atau keberanian, sebaliknya usaha menyelamatkan diri menjelang PRU16.

“Ini bukan keberanian politik. Ini adalah reaksi kerana takut hilang sokongan dan relevansi,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast