KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menolak dakwaan segelintir netizen yang melabelkan DAP sebagai ‘MCA 2.0’ sambil menyifatkan perbandingan itu sebagai tidak berasas.
Beliau mengingatkan kembali bahawa, DAP sendiri pernah menuduh MCA gagal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), gagal meluluskan lebih banyak pembinaan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan gagal memastikan peruntukan tetap kepada sekolah Cina.
“Pada 2018, BN mencadangkan syarat kredit bahasa Malaysia dan lulus Sejarah untuk pengiktirafan UEC. Pakatan Harapan (PH) pula berjanji hanya kredit BM diperlukan.
“Persoalannya, sehingga hari ini, adakah mereka sudah mengiktiraf UEC?,” katanya ketika berucap Perhimpunan Agung ke-3 Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA hari ini.
Ka Siong turut mempersoalkan laporan jawata nkuasa khas tiga orang yang kononnya ditubuhkan oleh kerajaan ketika itu untuk mengkaji pengiktirafan UEC.
“Saya masih ingat seorang Ahli Parlimen DAP pernah menyanyi kepada saya. Hari ini saya pulangkan lagu itu kepada mereka, ‘Tahukah kamu… aku menunggu hingga bunga pun layu’,” sindirnya.
Beliau juga mempersoalkan berapa banyak kelulusan SJKC baharu yang diberikan kerajaan PH dari 2018 hingga 2020 dan selepas 2022, berbanding rekod MCA pada 2017 yang memperoleh kelulusan 10 SJKC baharu dan enam pemindahan sekolah.
Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pemindahan SJKC Aik Hua ditanggung sepenuhnya kerajaan sebagai ‘sejarah baharu’ hanyalah satu jenaka.
“Dalam pentadbiran BN, ini perkara biasa. Mengapa sekarang dianggap luar biasa?,” soalnya lagi.
Jelas beliau, kewujudan 1,308 SJKC hari ini adalah hasil perjuangan MCA sejak sebelum merdeka apabila pentadbiran kolonial dan Kerajaan Persekutuan berniat menamatkan sekolah-sekolah Cina.
Beliau memetik memoir mendiang Lee Kuan Yew yang mengakui MCA ketika itu mempertahankan sekolah Cina sehingga kerajaan Persekutuan terpaksa berkompromi.
“Mereka menuduh MCA gagal menginstitusikan peruntukan sekolah Cina. Hakikatnya, MCA setiap tahun memperoleh puluhan juta hingga ratusan juta ringgit untuk sekolah Cina.
“Hari ini mereka hanya menjenamakan semula peruntukan itu dan mendakwa ia ‘diinstitusikan’, tetapi masih tidak berani menyatakan jumlah sebenar dalam belanjawan,” tegasnya.
Ka Siong juga membidas dasar ‘Derma dan Bina’ Kementerian Pendidikan yang mewajibkan pemaju menanggung kos pembinaan SJKC baharu, berbanding kerajaan.
“Bayangkan jika dasar seperti ini diperkenalkan zaman BN. Sudah tentu DAP akan keluarkan puluhan kenyataan media untuk menyerang MCA,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















