Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

BENTONG – Ketibaan seorang lelaki ketika rumahnya di di Taman Bentong Makmur disamun Khamis lalu, berjaya menyelamatkan isterinya yang tinggal berseorangan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada lelaki itu pada jam 12.25 tengah hari yang memaklumkan kediamannya dimasuki suspek dan melarikan diri selepas berlaku pergelutan antara mereka.

“Siasatan awal mendapati suspek memasuki kediaman itu dengan memanjat pagar rumah jiran yang tidak berpenghuni sebelum naik ke balkoni bilik tidur di tingkat satu.

Suspek kemudian melolos masuk melalui pintu bilik yang tidak berkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Melihat seorang wanita berseorang di ruang tamu, suspek bertindak memaut leher dan menutup mulut mangsa wanita dari arah belakang.

Suami mangsa yang kebetulan pulang ke rumah menyedari kejadian berkenaan, terus bergelut dengan suspek.

“Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri ke tingkat atas dan keluar melalui balkoni tanpa sempat mengambil sebarang barang berharga,” ujarnya.

Suspek yang juga warga tempatan berusia 21 tahun berjaya melarikan dir namun berjaya ditahan polis pada hari yang sama.

Mangsa berusia 36 tahun itu mengalami cedera ringan di bahagian muka dan leher.

Zaiham berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, selain mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Suspek direman mulai 5 hingga 9 Disember 2025 dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast