Wee Ka Siong ketika berucap di Perhimpunan Agung ke-3 Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA hari ini.

KUALA LUMPUR – MCA kekal komited kepada mandat yang diterima di bawah Barisan Nasional (BN) dan tidak akan membuat sebarang keputusan yang mengkhianati kepercayaan pengundi.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengakui, walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan pemerhati dan ahli parti mengenai masa depan MCA dalam BN, namun komitmen terhadap mandat rakyat adalah keutamaan.

“Ahli Parlimen dan ADUN kita menerima mandat atas panji BN. Kita mesti menunaikan tanggungjawab kepada BN dan kepada rakyat. 

“Kita tidak boleh dilihat sebagai parti yang memungkiri janji,” katanya ketika berucap Perhimpunan Agung ke-3 Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA hari ini.

Mengulas cadangan agar MCA menyertai Perikatan Nasional (PN), Ka Siong berkata, perkara itu sukar dipertimbangkan kerana sentimen masyarakat Cina terhadap Pas kekal negatif dan semakin mendalam sejak hubungan parti itu dengan DAP terputus satu dekad lalu.

“Realitinya, masyarakat Cina tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas. Beberapa kenyataan kontroversi daripada pemimpin Pas juga menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam.

“Selagi Pas tidak membuat pembaharuan dan menjadi lebih moderat, halangan ini kekal,” tegasnya.

Dalam masa sama, Ka Siong menyindir sikap parti tertentu yang dahulu lantang menyerang UMNO tetapi kini bekerjasama rapat demi kepentingan politik.

“Ada parti yang dulu mahu menghantar pemimpin UMNO ke penjara, tetapi hari ini mereka berpimpin tangan. Jika hari ini mereka boleh berpakat, apa pula yang menghalang mereka berpakat dengan Pas semula esok? Dalam politik, segala-galanya boleh berlaku,” ujarnya dengan tepukan gemuruh perwakilan.

Beliau turut menyentuh cadangan pembentukan kuasa ketiga, Ka Siong berkata, MCA sentiasa terbuka kepada kerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi prinsip pelbagai kaum, sederhana dan demokratik.

Namun beliau menegaskan pendirian parti terhadap DAP adalah muktamad.

“Pendirian kita jelas, tiada DAP. Jika UMNO terus mendekati kerjasama di luar BN, terutamanya dengan DAP, sehingga semangat BN hilang makna, MCA tidak akan berdiam diri. Kita akan menilai semula kedudukan strategik parti,” tegasnya.

Tambahnya, setiap keputusan berkaitan asas perjuangan, ideologi dan masa depan parti akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat pada masa yang sesuai.

“MCA perlu memperkukuhkan kekuatan dalaman sebelum mempertimbangkan apa-apa gabungan politik.

“Keutamaan kita ialah memperkuatkan MCA dan mendapatkan semula sokongan rakyat. Jika kita kuat, kita mampu berdiri di mana sahaja. Jika kita lemah, ke mana pun kita pergi kita tetap akan bergelut,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast