Wee Ka Siong ketika berucap di Perhimpunan Agung ke-3 Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketiadaan pemimpin UMNO dan MIC pada Perhimpunan Agung ke-3 (AGM) Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 hari ini bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan perkara yang pernah berlaku sebelum ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan, kehadiran pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) bukan satu syarat dalam perlembagaan parti dan jemputan kepada mereka selama ini hanya dibuat mengikut keperluan serta atur cara tertentu.

“Ini bukan kali pertama MCA mengadakan AGM tanpa kehadiran pemimpin BN lain. Dahulu pun ada majlis di mana kita jemput, ada juga yang kita tidak jemput. Ia bukan perkara luar biasa,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan itu diadakan di Wisma MCA hari ini.

Menurut Ka Siong, MCA tidak wajar dipertikaikan hanya kerana tidak menampilkan bendera BN pada perhimpunan kali ini memandangkan amalan itu juga tidak dilakukan secara konsisten oleh parti komponen lain.

“Isu bendera pun tidak timbul. UMNO sendiri tidak sentiasa menaikkan bendera BN ketika perhimpunan mereka. MCA menumpukan kepada logo parti seperti yang termaktub dalam fasa tertentu perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, para perwakilan MCA meluluskan usul untuk menentukan hala tuju baharu parti sekiranya ada mana-mana komponen BN memilih untuk meneruskan kerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

MCA turut memutuskan untuk menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada PRU akan datang.

Pada Julai lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa gabungan itu bercadang untuk mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 walaupun terdapat gesaan agar BN bergerak secara solo.

UMNO sebagai parti teras BN memainkan peranan penting dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU15 yang menyaksikan Parlimen tergantung.

Sementara itu, Ka Siong mengulangi MCA sebelum ini telah mengarahkan 191 bahagian parti membincangkan masa depan MCA susulan rasa tidak puas hati berhubung kedudukan dan pengaruh parti dalam kerajaan, sebelum membawa cadangan tersebut ke perhimpunan agung tahun ini.

“Kita telah melalui proses itu. Hari ini, apa yang diputuskan adalah berdasarkan suara akar umbi,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast