Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bercakap kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MCA di Wisma MCA hari ini.

KUA ALUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan usul supaya Perdana Menteri menggantikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bukanlah satu bentuk tekanan atau ugutan, sebaliknya pandangan jujur berdasarkan sentimen rakyat di negara ini.

“Tadi ada usul meminta Perdana Menteri mempertimbangkan penggantian Menteri Pendidikan. Pertama sekali, saya bukan mengugut Perdana Menteri. Kita menghormati kuasa beliau melantik dan membuat keputusan.

“Ini bukan saya cakap sebaliknya saya hanya sampaikan sentimen dan maklum balas yang diterima daripada semua lapisan masyarakat, pelbagai komuniti lain yang menunjukkan kekecewaan terhadap kepimpinan kementerian penting untuk masa depan anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung ke-3 Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA hari ini.

Dalam ucapan beliau ada menyentuh isu berkaitan KPM.

Tambah beliau, daripada maklum balas yang diterima MCA termasuklah mahu seorang Menteri yang lebih profesional, lebih tenang, tidak emosional dan mampu menguruskan pendidikan secara berkesan.

“Ini bukan pandangan peribadi sebaliknya suara ramai. Pandangan ini juga disokong analisis politik yang melihat wujud keperluan untuk perubahan di kementerian tersebut.

“Kita hanya menyampaikan pandangan rakyat. Kita rasa sudah sampai masa untuk perubahan. Kalau mahu kekalkan beliau di kementerian lain, itu kuasa Perdana Menteri. Tapi portfolio pendidikan sangat kritikal kerana ia melibatkan masa depan anak-anak kita,” ujarnya.

Ka Siong menegaskan permintaan itu dibuat secara berhemah dan ikhlas, tanpa sebarang tekanan politik.

“Saya hanya menyampaikan pandangan dari bawah, dan saya sendiri bersetuju bahawa perubahan itu wajar. Ini bukan ancaman. Kita merayu secara baik. Terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast