OTTAWA – Air Transat, salah satu syarikat penerbangan terbesar di Kanada akan mula menggantung beberapa penerbangan secara berperingkat mulai Isnin menjelang mogok.
Kesatuan yang mewakili juruterbang syarikat penerbangan itu mengeluarkan notis mogok 72 jam pada Ahad, mengumumkan juruterbang Air Transat tidak akan hadir bekerja pada hari Rabu jika perjanjian kontrak tidak dicapai.
Berikutan notis tersebut, syarikat penerbangan berkata, ia akan menutup operasinya secara berperingkat “bagi mengelakkan daripada gangguan mengejut yang tidak dirancang”.
Syarikat penerbangan itu menyifatkan notis mogok berkenaan sebagai “pramatang”.
Namun, seorang pemimpin kesatuan berkata, syarikat penerbangan masih ada masa untuk mengelakkan mogok.
“Tiada juruterbang mahu mogok, tetapi pihak pengurusan Air Transat tidak memberi kami pilihan.
“Berbulan-bulan rundingan tidak produktif berakhir sekarang. Jika kami tidak dapat mencapai persetujuan, pihak pengurusan akan bertanggungjawab atas setiap penerbangan yang dibatalkan dan setiap penumpang yang terkandas,” kata Kapten Bradley Small, yang mengetuai kumpulan juruterbang dalam kesatuan itu dalam satu kenyataan.
Juruterbang Air Transat telah berunding hampir setahun untuk menggantikan kontrak 2015 dengan kontrak baharu yang diharapkan dapat memastikan “gaji, faedah, peraturan kerja dan keselamatan kerja setaraf industri”, menurut kesatuan juruterbang, Air Line Pilots Association.
Kesatuan itu berkata, 99% daripada 750 juruterbang Air Transat telah mengundi untuk memberi kuasa kepada kepimpinan mereka mengisytiharkan mogok.
Sebagai tindak balas, syarikat penerbangan itu akan mula membatalkan penerbangan pada Isnin, dengan penggantungan semua penerbangan pada Selasa, sebagai persediaan untuk kemungkinan mogok juruterbang pada Rabu.
“Notis mogok ini adalah pramatang memandangkan kemajuan yang telah dicapai di meja rundingan dan tawaran murah hati yang telah dibuat Air Transat,” kata Julie Lamontagne, Pegawai Sumber Manusia Air Transat, dalam satu kenyataan.
Lamontagne berkata, syarikat itu telah berunding dengan niat baik, dan menuduh kesatuan juruterbang menunjukkan “ketidakpedulian terhadap Transat” melalui “tindakan cuai” mereka memberi kuasa kepada mogok “yang tidak mencerminkan keadaan sebenar rundingan”.
Syarikat penerbangan itu berkata, pembatalan penerbangan adalah perlu untuk mengelakkan anak kapal, penumpang dan pesawat daripada “terkandas di luar negara jika mogok berlaku”.
Pada 2024, para penyelaras penerbangan Air Transat sebulat suara mengundi untuk meluluskan mogok selepas rundingan kontrak dengan kesatuan mereka menemui jalan buntu, namun mogok itu akhirnya berjaya dielakkan. – Agensi
















