KUALA LUMPUR – Larangan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun yang bakal dikuatkuasakan tidak lama lagi perlu perbincangan antara pembuat dasar, agensi penguatkuasaan dan masyarakat mengenai implikasi sebenar peraturan tersebut.
Menurut Naib Presiden Parti Ikatan Demoktarik Malaysia (MUDA), Dobby Chew, larangan menyeluruh seperti itu merupakan tindakan drastik walaupun ramai percaya langkah itu perlu demi melindungi kanak-kanak.
Malah jurang pelaksanaan dan implikasinya mesti diperhalusi bagi memastikan keselamatan dalam talian benar-benar terjamin.
“Menetapkan larangan media sosial tidak serta-merta menghapuskan beban dan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak ketika berada dalam talian. Larangan ini, tanpa dasar sokongan dan usaha libat urus masyarakat, hanya akan memberi keberkesanan terhad dan mencipta ilusi keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dobby berkata demikian mengulas cadangan kerajaan untuk melarang kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah memiliki akaun media sosial sendiri disasar mulai tahun depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif bagi mengekang jenayah siber rentas usia serta melindungi kanak-kanak daripada risiko eksploitasi dalam talian dan pemangsa seksual.
Menurut beliau, antara mekanisme yang sedang diteliti ialah pelaksanaan pengesahan Electronic Know Your Customer (eKYC) yang akan diwajibkan kepada platform media sosial.
Dalam kenyataan sama, Dobby berkata, tanpa dasar sokongan serta usaha libat urus masyarakat, larangan itu hanya akan memberi keberkesanan terhad dan mencipta ilusi keselamatan.
Katanya, persoalan timbul sama ada ibu bapa akan berhenti menyerahkan peranti kepada anak mereka hanya kerana sekatan diwujudkan atau akhirnya kerajaan akan menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan setiap ibu bapa.
“Adakah itu nanti dianggap keterlaluan dan satu pencabulan hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan?” soalnya.
Selain larangan itu, tiada usaha membangunkan dasar pelengkap atau melaksanakan kempen pendidikan awam untuk membantu ibu bapa membina kawalan ibu bapa (parental controls) yang berkesan, katanya lagi.
Tambah beliau lagi, sehingga kini tiada dasar pelengkap atau kempen pendidikan awam yang membantu ibu bapa membangunkan kawalan ibu bapa yang berkesan.
Beliau memberi contoh aplikasi WhatsApp yang kini mempunyai elemen komuniti dan pengenalan pembantu AI tanpa kawalan keselamatan khusus untuk kanak-kanak.
“Tanpa kawalan ini, mana-mana kanak-kanak boleh menggunakan pembantu sembang AI yang boleh menjadi sangat berbahaya.
“Selain itu, terdapat unsur ‘komuniti’ dalam WhatsApp yang semakin berkembang, sehingga perlu dipertimbangkan sama ada WhatsApp harus dikira sebagai media sosial dan turut dihadkan aksesnya kepada kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette
















