Datuk Seri wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang akan melaksanakan penukaran paip-paip usang sepanjang 573.1 kilometer (km)  di seluruh daerah secara berfasa dalam usaha menyelesaikan masalah air di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan sebahagian strategi dalam mencapai kadar Air Tidak Berhasil (NRW) 39.5 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Usaha menurunkan kadar NRW ini bukan mudah dan amat memerlukan peruntukan yang sangat besar. Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sedang merancang dan melaksanakannya secara berperingkat.

“Antara usaha dan strategi PAIP juga adalah membina district metering area (DMA) dan pressure management area (kawasan pengurusan tekanan, PMA) bagi membantu mengesan kebocoran air dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Su Keong Siong pada sesi soal jawab lisan dalam Mesyuarat ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

ADUN Ketari bertanyakan mengenai langkah dan pelan reduksi NRW komprehensif yang diambil kerajaan negeri untuk mencapai kadar NRW 39.5 peratus daripada 47.5 peratus.

Menurut Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai, penukaran paip-paip usang itu membabitkan daerah Kuantan (95.5 km), Pekan (34.5 km), Rompin (46.2 km), Bera (23 km), Temerloh (30 km), Maran (42.5 km), Jerantut (73 km), Bentong (31 km), Lipis (131 km), Raub (65.7 km) dan Cameron Highlands (0.7 km).

“Untuk makluman, saya difahamkan lebih daripada 90 peratus masalah air di Bentong telah diselesaikan, manakala 80 peratus masalah air selesai di Raub,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast