Steven Sim Chee Keong

BANGI – Kerajaan terus memacu transformasi ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kini diperluas meliputi kursus antarabangsa serta program yang dikendalikan badan pengawal selia industri.

Peluasan itu disifatkan sebagai anjakan strategik bagi memastikan tenaga kerja Malaysia memiliki kemahiran bertaraf global, selain memenuhi permintaan sebenar sektor industri dan teknikal yang berkembang pesat.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu membuktikan kerajaan tidak lagi mengehadkan pembiayaan kepada kursus tradisional yang ditawarkan penyedia latihan sedia ada, sebaliknya membuka akses kepada bidang kritikal berimpak tinggi.

“Ia supaya TVET bukan hanya terhad kepada khusus-khusus yang kita sudah tahu sedia ada.

“Tetapi juga kepada khusus-khusus lain, bukan sahaja khusus antarabangsa tetapi juga khusus-khusus contohnya dari regulator seperti Suruhanjaya Tenaga dan sebagainya,” katanya dalam ucapan sempena Anugerah Wira WorldSkills Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Steven berkata, banyak sektor kini mensyaratkan sijil regulator sebelum seseorang tenaga mahir dibenarkan beroperasi, menjadikan kursus sedemikian semakin relevan dan bernilai tinggi kepada kebolehpasaran.

Menurutnya, pengiktirafan terhadap kursus regulator serta pensijilan antarabangsa mencerminkan bahawa skim pembiayaan kerajaan kini lebih responsif terhadap keperluan industri dan kemajuan teknologi.

Peluasan itu juga membuka lebih banyak peluang kepada belia, pekerja dan penyedia latihan baharu untuk meningkatkan kemahiran tanpa kekangan kewangan atau batasan bidang latihan yang kaku.

Sim berkata, langkah tersebut selari dengan mandat kerajaan untuk memodenkan TVET, memastikan Malaysia melahirkan tenaga kerja kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi pasaran global.

“Ini adalah sebahagian daripada pembaharuan menyeluruh ekosistem TVET negara yang sedang kita laksanakan, dan kita mahu memastikan setiap rakyat mempunyai laluan latihan yang lebih luas, fleksibel dan relevan dengan keperluan zaman,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pengenalan Sijil Pakar Malaysia, sebagai platform pengiktirafan rasmi kepada tenaga mahir negara.

“Tiga tahap baharu, iaitu pakar kemahiran, pakar kemahiran kanan dan perunding kemahiran akan diperkenalkan.

“Mereka juga boleh mendapat pengiktirafan yang rasmi, pengiktirafan yang sah daripada kerajaan, daripada industri dan kemudian mendapat pekerjaan yang lebih baik,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast