Lokasi kejadian di mana mangsa ditembak dengan bakakuk. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang remaja 14 tahun maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain sembunyi-sembunyi bersama rakannya di halaman rumah di Jalan Kem PPH, Keningau Sabah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pelajar Tingkatan Dua itu dikatakan bermain bersama seorang rakannya sebelum remaja itu secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari jarak kira-kira tiga meter.

Mangsa yang rebah dengan 14 kesan tembakan pada badan dihantar ke Hospital Keningau oleh penduduk kampung, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan rumah sebelum meminta senjata berkenaan untuk bergurau.

“Ketika bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Suspek panik lalu meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melintas sebelum mangsa dibawa ke hospital,” katanya.

Yampil berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan mangsa.

Menurutn beliau, siasatan mendapati senjata tersebut disorokkan oleh seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun, yang merupakan adik kepada suspek, sementara pemilik bakakuk berkenaan adalah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun.

Sehubungan itu, polis menahan ketiga-tiga beranak berkenaan dan merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsing peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast