KOTA TINGGI – Johor melakar sejarah tersendiri dalam memperkukuh pembangunan ekonomi halal negara apabila melancarkan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 malam tadi.
Pelan tersebut merupakan satu dokumen komprehensif hasil libat urus pelbagai agensi kerajaan negeri, jabatan Persekutuan serta pemain industri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan tersebut bukan sekadar rangka dasar, sebaliknya sebuah peta jalan menyeluruh yang menggariskan strategi holistik dan sasaran jelas.
“Tujuannya bagi memperkasa ekosistem halal negeri secara lebih terancang, moden dan berdaya saing. Visi pelan ini adalah untuk menjadikan Johor sebuah hab halal yang kompetitif, efisien dan berimpak tinggi, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia sebagai peneraju industri halal global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2024 di Desaru Coast, Pengerang di sini malam tadi.
Menurut Onn Hafiz, sasaran makro yang digariskan dalam pelan tersebut mencerminkan iltizam besar Johor terhadap pertumbuhan ekonomi halal negeri.
Menjelang 2030, katanya, sektor halal Johor disasarkan menyumbang RM24 bilion iaitu jumlah nilai pasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) halal negeri, RM18 bilion nilai eksport, RM5 bilion pelaburan terkumpul serta RM62 bilion jumlah output industri.
“Angka-angka ini membuktikan Johor berada pada landasan tepat untuk muncul sebagai peneraju baharu sektor halal negara, selain menjadi penyumbang utama kepada kekuatan ekonomi halal Malaysia,” jelasnya.
Pelan itu dibina berasaskan tujuh teras strategik utama yang merangkumi pembangunan ekosistem industri, peningkatan standard pematuhan, pemerkasaan tenaga kerja halal, inovasi, transformasi digital, pengukuhan rantaian bekalan serta peluasan pasaran global.
Pada majlis sama, Onn Hafiz berkata, penubuhan Johor Halal Development Corporation (JHDC) melalui penstrukturan semula PIJ Halal Ventures Sdn Bhd bakal menjadi pemangkin utama pembangunan sektor halal negeri.
Beliau berkata, JHDC akan berperanan sebagai agensi tunggal fasilitasi halal di Johor dengan fungsi menyeluruh merangkumi penyelarasan industri, pembangunan kapasiti, pemudah cara pelaburan serta peningkatan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Penubuhan JHDC merupakan langkah transformasi besar. Ia akan berfungsi sebagai pusat saraf pembangunan industri Halal Johor dengan tahap profesionalisme dan kecekapan yang lebih tinggi bagi memacu pertumbuhan sektor ini,” katanya.
Pelancaran pelan tersebut menegaskan komitmen Johor dalam membangunkan sektor halal berteraskan inovasi, tadbir urus cekap dan kerjasama strategik seiring aspirasi negeri menuju ekonomi berimpak tinggi menjelang 2030. – MalaysiaGazette
















