Foto: IPD Nilai

NILAI – Seorang bapa dalam perjalanan mengambil anaknya di sekolah maut selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah lori tangki di Jalan Perak berhampiran Kawasan Perindustrian Ringan Semarak, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Johari Yahya berkata, kejadian berlaku lebih kurang 1 tengah hari membabitkan lori tangki Nissan dan motosikal SYM yang ditunggang mangsa berusia 38 tahun.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu pustakawan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Semarak menghala ke Kawasan Perindustrian Ringan. Ketika tiba di lokasi kejadian dan sedang membelok ke simpang kanan, motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan lalu melanggar lori berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori lelaki berusia 41 tahun serta kelindan, 47, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat dan kedua-dua kenderaan turut dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senawang untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast