BAYAN LEPAS – Orang ramai diminta menghentikan penularan klip video yang memaparkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui menghidu gam di bangunan lama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah mengambil tindakan termasuk membawa remaja berkenaan untuk menjalani pemulihan.
“Terima kasih kepada rakan-rakan media sosial yang maklumkan isu ini. Namun saya mohon agar video-video yang ditularkan dikaburkan terlebih dahulu kerana ia memberikan kesan negatif terhadap ahli keluarga mereka yang terbabit.
“Moga adik ini dapat dipulihkan dan menjalani kehidupan lebih baik untuk masa akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu tular satu rakaman video seorang lelaki mendakwa hampir diserang remaja ketika memasuki bangunan itu.
Remaja berkenaan dilihat memegang plastik hitam dan berdiri dalam keadaan tidak stabil. – MalaysiaGazette
















