Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim (empat kiri) bergambar bersama Timbalan Menteri di Ministry of Land, Infrastructure and Transport (MOLIT), Korea Selatan, Hee Up Kang (tengah) diiringi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (lima kiri) dan Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae (empat kanan) pada Majlis Roadshow Korea - Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Korea Selatan hari ini mengambil langkah strategik dalam memperkukuh kerjasama pembangunan sistem pengangkutan pintar (Intelligent Transport Systems atau ITS).

Komitmen itu dicapai menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea (MOLIT).

MoU berkenaan disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama rakan sejawatnya dari Korea, Kim Yun-Duk.

Majlis MoU turut dihadiri Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim, Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea, Kang Hee Up dan Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung Bae.

Menurut Alexander, MoU itu membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala khususnya dalam pembangunan infrastruktur dan teknologi pembinaan termaju.

Beliau berkata, kerjasama itu tidak hanya menumpukan kepada ITS dan sistem tol pintar tetapi juga merangkumi teknologi pembinaan lestari serta penyelenggaraan infrastruktur dan pengurusan aset.

“Saya amat yakin MoU ini akan memberi dorongan baharu untuk memantapkan lagi kerjasama Malaysia-Korea Selatan serta membuka ruang kerjasama, inovasi dan pemindahan teknologi yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah ITS Korea-Malaysia 2025 di sini hari ini.

Timbalan Menteri di Ministry of Land, Infrastructure and Transport (MOLIT), Korea Selatan, Hee Up Kang (kiri) bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) bersalaman ketika hadir pada Majlis Roadshow Korea – Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 DISEMBER 2025

Mengulas mengenai Jelajah ITS Korea-Malaysia 2025, Alexander berkata, ia bukan sekadar persidangan tetapi simbol pembaharuan komitmen dan matlamat bersama untuk membina mobiliti lebih bijak, selamat dan lestari.

Beliau menegaskan, gabungan kepakaran Korea dan aspirasi Malaysia akan memacu penyelesaian ITS baharu serta menetapkan standard serantau dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.

“Acara ini membuktikan perjalanan bersama berasaskan kepercayaan, rasa hormat dan keyakinan bahawa Malaysia dan Korea mampu membentuk masa depan mobiliti secara bersama,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast