PEKAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah melaksanakan sebanyak 86,504 pemeriksaan di premis perniagaan di seluruh negeri ini sejak 1 Januari sehingga 30 November 2025.
Hasil pemeriksaan berkenaan, KPDN Pahang telah mengambil tindakan ke atas 930 kes pelbagai kesalahan, melibatkan nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM2,309,720.85 dan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM258,020.00.
Menurut pengarahnya, Jezlily Jamaluddin, pihaknya menerima sebanyak 1,108 aduan dalam tempoh sama daripada pengguna melibatkan pelbagai pelanggaran undang-undang.
“Daripada jumlah itu, 430 melibatkan isu harga, 95 berkaitan bekalan barang kawalan dan 583 lagi terdiri daripada aduan lain.
“Di bawah inisiatif KITA GEMPUR, KPDN Negeri Pahang menyeru orang ramai untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan pematuhan undang-undang perdagangan di pasar-pasar awam dengan melaporkan sebarang salah laku melalui pelbagai saluran yang kita sediakan,” katanya.

Jezlily berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Walkabout dan Majlis Perasmian Program Pasar PATUH (3P) 2025 Peringkat Negeri Pahang di Pasar Besar Pekan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, program dimulakan secara perintis di Pasar Besar Pekan dan dijangka diperluaskan ke pasar-pasar lain di negeri ini secara berperingkat.
Sehingga tahun 2025, Pahang mempunyai 26 pasar utama yang menempatkan sebanyak 1,050 premis atau peniaga merangkumi daerah Kuantan, Pekan, Temerloh, Jerantut, Rompin, Bera dan Raub.
“Melalui Program Pasar PATUH ini, peniaga pasar awam digalakkan mematuhi piawaian dengan penandaan harga yang tepat, penggunaan alat timbang yang sah di samping memastikan persekitaran pasar yang kemas, selamat dan teratur serta memberi manfaat kepada peniaga dan pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette
















