Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) komited memperkukuh hala tuju gabungan itu menerusi penganjuran Konvensyen Pakatan Harapan pada suku pertama 2026.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden yang diadakan hari ini.

“Konvensyen Pakatan Harapan akan diadakan pada suku pertama 2026, bagi menetapkan fokus keutamaan usaha reformasi serta halatuju negara bagi dua tahun ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Konvensyen PH 2026 dijangka menghimpunkan semua parti komponen dalam merangka strategi bersama, termasuk penyelarasan dasar, kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik serta pemantapan halatuju gabungan dalam mendukung agenda reformasi negara.

Platform itu turut diangkat sebagai medan perbincangan mendalam mengenai keutamaan ekonomi rakyat dan pengukuhan tadbir urus, memastikan setiap langkah kerajaan kekal berpaksikan kepentingan masyarakat.

Tumpuan terhadap konvensyen tersebut juga dilihat sebagai isyarat jelas bahawa PH mahu memperkemas keutamaan reformasi institusi, sejajar komitmen kerajaan mendepani cabaran ekonomi rakyat dan keperluan meningkatkan keberkesanan urus tadbir.

Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut meneliti isu-isu utama berkait urus tadbir kerajaan, perkembangan ekonomi semasa serta penilaian pelaksanaan manifesto sepanjang tiga tahun pentadbiran.

Menurut Fahmi, Majlis Presiden turut menyatakan keperluan mendesak untuk memastikan reformasi kritikal dilaksanakan dengan lebih tegas dan tersusun, termasuk selepas mengambil kira perkembangan politik dan implikasi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Mesyuarat juga telah mendalami dan meneliti keputusan PRN Sabah, dan memutuskan supaya beberapa perkara berhubung reformasi institusi perlu diberi keutamaan dan diusahakan dengan lebih tegas dalam masa terdekat,” jelasnya.

Kenyataan itu menegaskan penekanan terhadap reformasi institusi bukan sekadar memenuhi janji manifesto, tetapi penting bagi merangsang keyakinan rakyat dan mengukuhkan integriti institusi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast