KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini tidak membincangkan siapa pengganti kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, rata-rata perasaan ahli-ahli MKT UMNO masih bercampur baur dan hiba dengan kehilangan pemimpin UMNO Sabah itu.
“Sebelum mesyuarat kita buat tahlil sikit untuk arwah, ramai pemimpin dalam kalangan MKT sedih dengan pemergian itu, terasa lagi dengan pemergian arwah.
“Belum lagi (cari pengganti), tak sedia lagi untuk (gantikan Bung). Tak ada (bincangkan siapa pengganti),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato Onn, di sini, malam ini.
Sebelum ini, Bung Moktar yang juga ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah awal jam 1.46 pagi pada 5 Disember dan disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.
Bung Moktar, 66, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pada 2.25 petang.

Ketika ditanya tentang kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, 29 November lalu, Nurul Amal berkata, pihaknya masih belum bersedia untuk membincangkan perkara itu kerana masih bersedih.
“Dia perasaan bercampur baur, saya pun terasa dengan pemergian, sebab setiap kali mesyuarat Biro Politik, arwah dekat sebelah (saya).
“Jadi macam-macam lagi, mungkin (kena) bagi sedikit masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















