SAR ketiga-tiga mangsa sedang dijalankan membabitkan beberapa agensi pasukan penyelamat.

GEORGE TOWN – Tiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang digerakkan secara serentak selepas tiga lelaki dilaporkan terjatuh ke laut dalam insiden berasingan di Jambatan Pulau Pinang dan Dermaga Dalam, Butterworth dalam tempoh kurang 24 jam.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.41 tengah hari semalam mengenai insiden pertama membabitkan seorang lelaki dipercayai terjatuh ke dalam laut di kawasan Dermaga Dalam, Butterworth.

Jelas beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dengan bantuan Balai Bagan Jermal digerakkan ke lokasi bagi SAR mangsa.

“Mangsa kedua telah terjatuh ke dalam laut bersama sebuah motosikal Yamaha LC V8 serta sebuah telefon bimbit turut ditemui ditinggalkan di kawasan kejadian

Insiden kedua dilaporkan pukul 8.22 malam di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang arah ke Perai.

“Sistem NG999 memaklumkan seorang lelaki bersenjata tajam berada di lokasi sebelum dia dilaporkan terjatuh ke laut iaitu sebelum pasukan BBP Perai sempat tiba,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, John Sagun berkata, insiden ketiga membabitkan seorang lelaki dipercayai terjatuh di lokasi sama dengan insiden kedua.

“Kejadian itu dikesan melalui rakaman CCTV syarikat konsesi PLUS jam 3.30 pagi tadi dan lelaki tersebut dikatakan meninggalkan barangan peribadi di lokasi kejadian.

“Setakat ini, ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan dengan pencarian dijalankan menggunakan kaedah water surface searching.

“Pembahagian sektor pencarian dilakukan melibatkan semua agensi penyelamat termasuk polis, Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Pasukan Bomba Sukarela,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast