KUALA LUMPUR – Kerajaan terus memperkukuh agenda mobiliti hijau negara apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menyerahkan sebuah kenderaan berkuasa hidrogen, Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) Toyota Mirai kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan antara komitmen penting kerajaan dalam mempercepat peralihan kepada teknologi rendah karbon serta pembangunan ekonomi hijau negara.
“Ia menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh agenda negara ke arah mobiliti hijau melalui teknologi rendah karbon dan pertumbuhan ekonomi bagi masa depan yang lebih mapan,” katanya di Facebook beliau hari ini.
Menurut Anwar, kerjasama itu turut mencerminkan keyakinan rakan industri tempatan dan antarabangsa terhadap dasar serta hala tuju Malaysia dalam membangunkan ekosistem hidrogen negara.
“Inisiatif ini mencerminkan keyakinan rakan industri daripada tempatan dan antarabangsa terhadap dasar dan hala tuju Malaysia, khususnya dalam membangunkan ekosistem hidrogen negara, merancakkan kerjasama rentas sempadan serta memacu inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara,” katanya.
Anwar menegaskan, kerajaan komited untuk menjadi peneraju dalam peralihan serantau ke arah mobiliti hijau dan pintar melalui teknologi yang lebih bersih dan cekap tenaga.
“Kerajaan Madami akan terus menerajui peralihan serantau ke arah mobiliti hijau dan pintar dalam memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia menghadapi keperluan masa depan, tetapi turut menjadi peneraju dalam membentuk landskap mobiliti yang lebih bersih, selamat dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.
Inisiatif penggunaan FCEV itu juga dilihat membuka ruang lebih luas kepada pembangunan infrastruktur hidrogen, penyelidikan serta inovasi tempatan dalam sektor automotif.
MOSTI sebelum ini mengumumkan pelan pembangunan hidrogen negara yang merangkumi penyelidikan teknologi penjanaan, penyimpanan dan penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga bersih.
Kerajaan yakin penggunaan kenderaan hidrogen di agensi Persekutuan akan menjadi pemangkin kepada perluasan teknologi itu dalam sektor awam dan korporat sekaligus menyokong sasaran negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. – MalaysiaGazette
















