Nanta Linggi melawat reruai selepas merasmikan Hari Profesion Teknologi Negara 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mematuhi semua standard operasi standard (SOP) diperlukan untuk menutup laluan yang dalam kerja-kerja pembinaan termasuk jalan yang mengorbankan bakal pengantin di Kuala Berang, Jumaat lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penutupan yang dilakukan sudah pun memastikan aspek keselamatan dipatuhi bagi mengelak kemalangan atau kejadian tidak diingini.

“Itu SOP kita apabila berlaku (kerja-kerja membaiki jalan, cerun atau runtuhan tanah) di jalan raya. Memang kita letakkan macam-macam yang diperlukan. Tanda, penghadang dan sebagainya.

“Ini supaya membantu pengguna jalan raya berhati-hati dan mereka tahu ada masalah di sana. Ia adalah peraturan berhati-hati. Kita letak (tanda dan notis amaran). Kita juga sudah letak penghadang konkrit bagi menutup jalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Profesion Teknologi Negara 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Jumaat lalu, sepasang bakal pengantin maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki terbabas dalam gaung di Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), di Kuala Berang, Terengganu.

Jalan berkenaan ditutup pihak JKR untuk kerja-kerja membaiki jalan selepas runtuh pada November 2024.

Kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa, Hassan Shazali, 52, dari Melor, Kota Bharu dan Suzaimah Che Azis, 34, dari Gua Musang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, langkah yang dilakukan pihak JKR adalah memadai dan dalam kejadian tersebut penghadang konkrit sudah dialihkan pengguna jalan raya.

Ditanya sama ada insiden tersebut disebabkan kecuaian pengguna jalan, Nanta berkata, pihaknya menyerahkan siasatan punca kemalangan tersebut sepenuhnya kepada pihak polis.

“Kita sudah buat notis di setiap persimpangan jalan masuk mengatakan bahawa kawasan ini telah ditutup,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya sehingga kini masih tidak mengetahui siapa yang mengalihkan penghadang jalan tersebut dan jelas merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, seperti mana kes-kes yang sama sebelum ini, pihak JKR turut menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden tersebut secara teknikal.

Dalam pada itu, Nanta berkata, kerja-kerja pembaikan di lokasi tersebut baharu dapat dilaksanakan sekarang kerana projek berkenaan memerlukan peruntukan besar berjumlah RM36 juta yang diluluskan pada Mac lalu.

“Kawasan itu runtuh pada November 2024 dan lulus peruntukan pada Mac tahun ini jadi dengan adanya peruntukan itu, proses lantikan kontraktor sedang dijalankan dan kerja pembaikan akan dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast