Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin mempersoalkan tindakan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan satu lagi notis pelucuthakan harta.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan firma guaman Tetuan Zharif Nizamuddin hari ini, keluarga itu mendakwa permohonan itu sekali lagi tidak menyatakan sebarang kesalahan substantif di bawah undang-undang.

Katanya, permohonan pelucuthakan sebelum ini yang hanya berkait dengan isu pematuhan tatacara siasatan di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta bukan pertuduhan rasuah atau kesalahan jenayah lain.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan terhadap keluarga bekas Menteri Kewangan itu telah bermula sejak Februari 2023 namun selepas hampir tiga tahun, mereka masih tidak menerima penjelasan jelas mengenai tindakan berterusan pihak berkuasa terhadap mereka.

Mereka menyifatkan keadaan tersebut sebagai satu bentuk kegagalan serta penyalahgunaan kuasa yang menimbulkan kebimbangan serius terhadap pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang.

“SPRM perlu menggunakan kuasa secara adil dan mengikut undang-undang tanpa menindas mana-mana pihak.

“Anak guam kami juga menyuarakan kebimbangan mereka dijadikan sasaran setiap kali timbul isu berkaitan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga menegaskan sebarang tindakan yang dilihat cuba mengalih perhatian rakyat daripada isu kepimpinan negara merupakan pembaziran wang awam, masa penjawat awam dan sumber mahkamah.

“Keluarga Tun Daim akan terus komited dalam meneruskan usaha mempertahankan hak mereka melalui proses mahkamah bagi memastikan semua jaminan undang-undang dipatuhi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast