Steven Sim

KUALA LUMPUR – Kabinet setuju agar Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mencadangkan pemansuhan peruntukan denda di bawah Seksyen 45F (4) RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kementerian itu mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan oleh pihak industri berhubung
peruntukan penalti tersebut.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa berpegang bahawa dasar yang hendak dilaksanakan mestilah bersesuaian dengan realiti industri di samping dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

“Seperti yang dijanjikan, saya telah mengemukakan perkara tersebut dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini untuk penambahbaikan.
Jemaah Menteri telah bersetuju agar Kesuma mencadangkan pemansuhan peruntukan denda di bawah Seksyen 45F (4),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pembentangan RUU Sistem Insurans Pekerjaan di Dewan Negara pada sesi Disember 2025 ini akan ditangguhkan bagi membolehkan Pertubuhan Keselamatan Sosial melakukan penambahbaikan terhadap Seksyen 45F termasuk pemansuhan peruntukan denda di dalam seksyen terbabit.

Pada masa yang sama, katanya, cadangan penambahbaikan Seksyen 45F akan dibawa ke sesi libat urus bersama pemegang taruh industri termasuk pekerja dan majikan, sebelum RUU ini dibawa semula ke Parlimen tahun hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast