SHAH ALAM – Gara-gara mendera seekor kucing, seorang pengawal keselamatan warganegara Nepal hari ini didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tersebut.
Hakim Nor Hasniah Ab. Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Arman Shah, 33, dan memerintahkan lelaki bujang itu dipenjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Warga asing itu sebelum ini disiasat atas kesalahan meliwat kucing berkenaan, mengaku mendera haiwan tersebut secara kejam di tingkat empat sebuah blok pangsapuri di Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini pukul 12.30 tengah malam, 15 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang sabit kesalahan boleh penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding itu, Arman yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan dia berhasrat pulang ke Nepal kerana ibunya sedang sakit.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal menegaskan kelakuan tertuduh sangat keterlaluan, kejam dan tidak sepatutnya dinormalisasikan.
“Kes ini telah mendapat perhatian umum sehingga menimbulkan kemarahan dan kegusaran orang awam. Mohon hukuman berat sebagai pengajaran bukan hanya kepada tertuduh malah masyarakat,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, seorang wanita yang baharu tiba di kawasan parkir pangsapuri itu, melihat tertuduh memegang seekor kucing lalu membuka seluar sebelum melakukan perbuatan tersebut.
Pengadu telah meminta suaminya menegur perbuatan tertuduh dan ketika sampai di atas, suami pengadu turut melihat tertuduh dalam keadaan bogel.
Selepas ditegur, tertuduh memakai semula seluar dan mencampak kucing itu ke bawah sebelum masuk ke rumah sewanya.
Pengadu yang masih berada dalam kereta sempat merakam video berdurasi 48 saat yang memaparkan tertuduh memegang dan mencampak haiwan itu.
Pada 21 November lalu, media melaporkan, Arman diperintah oleh Mahkamah Majistret menjalani hukuman penjara empat bulan atas kesalahan berpakaian separuh bogel dan memasuki negara tanpa dokumen sah. – MalaysiaGazette















