SYDNEY – Australia telah menjadi negara pertama yang melarang media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun bermula Rabu (10 Dis), sekali gus menyekat akses ke platform termasuk TikTok, YouTube milik Alphabet serta Instagram dan Facebook milik Meta.
Sepuluh platform terbesar telah diarahkan untuk menyekat akses kanak-kanak mulai tengah malam tadi atau berdepan denda sehingga A$49.5 juta (AS$33 juta) di bawah undang-undang baharu itu.
Perdana Menteri Anthony Albanese menyifatkannya sebagai “hari yang membanggakan” bagi keluarga dan menggambarkan undang-undang itu sebagai bukti pembuat dasar boleh mengekang kemudaratan dalam talian yang mengatasi langkah perlindungan tradisional.
“Ini adalah hari apabila keluarga Australia mengambil kembali kuasa daripada syarikat teknologi besar.
“Teknologi baharu boleh membawa kebaikan, tetapi kita perlu memastikan manusia mengawal masa depan sendiri, dan itulah tujuan undang-undang ini,” kata Albanese kepada ABC News.
Dalam satu mesej video yang menurut Sky News Australia akan dimainkan di sekolah minggu ini, Albanese menggesa kanak-kanak untuk “mencuba sukan baharu, alat muzik baharu, atau membaca buku yang sudah lama berada di rak anda”, menjelang cuti musim panas sekolah Australia yang bermula akhir bulan ini.
Dalam pada itu, beberapa negara – Denmark, New Zealand dan Malaysia telah memberi isyarat untuk mengkaji atau meniru model Australia.
Platform X milik Elon Musk yang terakhir daripada 10 platform utama mengambil langkah memutuskan akses remaja bawah umur turut komited mematuhi undang-undang yang ditetapkan Australia.
“Ia bukan pilihan kami — ia adalah kehendak undang-undang Australia,” kata X di laman webnya. – Agensi
















