PUTRAJAYA – Pasukan pendakwaan menghujahkan, Mahkamah Rayuan telah melemparkan tuduhan liar dan tidak adil terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan penyelewengan dana RM1 juta milik Armada.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin berhujah di Mahkamah Persekutuan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan turut bersikap berat sebelah dengan memilih-milih keterangan yang sesuai untuk membebaskan Ahli Parlimen Muar itu.
Hujah beliau, Mahkamah Rayuan sejak awal telah membuat inferens tanpa berlandaskan kepada keterangan lain ketika mencapai dapatan bahawa saksi pendakwaan ke-13 (SP13), Rafiq Hakim Razali memberi keterangan untuk memuaskan hati pihak SPRM dan menyesuaikannya dengan kehendak agensi itu.
“Hanya kerana SP13 direman selama enam hari dan dalam keadaan tertekan, ia tidak menjadi satu kebarangkalian untuk SP13 memberikan keterangan yang telah disesuaikan untuk memuaskan hati pihak SPRM dan mereka-rekakan keterangan terhadap responden.
“Ini dakwaan yang amat serius dibuat oleh Mahkamah Rayuan. Panel tersebut dipengaruhi emosi apabila membuat beberapa tuduhan liar kepada pihak pendakwaan dan SPRM tanpa keterangan sokongan.
“Tidak cukup dengan tuduhan liar, salah seorang panel Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan remarks yang tidak sepatutnya di mahkamah terbuka dengan mengkritik pihak pendakwaan semasa membuat keputusan.
“Suka atau tidak, Mahkamah Rayuan telahpun mengeluarkan ‘tohmahan’ kepada pihak pendakwaan dan SPRM dengan menuduh agensi itu mungkin memberikan paksaan ke atas SP13 untuk menyesuaikan versi pendakwaan.
“Mahkamah Rayuan sepatutnya lebih berhati-hati dalam membuat komen yang begitu serius kepada jabatan kerajaan iaitu pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPRM,” ujar beliau dalam penghujahan bertulisnya.
Wan Shaharuddin menghujahkan, Mahkamah Rayuan sepatutnya mempertimbang kesemua keterangan pihak pendakwaan yang ada dalam rekod rayuan, bukannya memilih keterangan rasa perlu dan sesuai untuk diambil kira.
Hujah beliau, tindakan Mahkamah Rayuan telah menyebabkan ketidakadilan kepada pihak pendakwaan dan menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan untuk memperbetulkannya.
Mahkamah tertinggi negara sedang mendengar rayuan akhir pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan.
Wan Shaharuddin menghujahkan, keterangan saksi-saksi pendakwaan telah dipotong-potong terutama keterangan saksi ke-13 (SP13), Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang merupakan saksi penting dalam kes tersebut.
Hujahnya, Mahkamah Rayuan telah mencampur-adukan keterangan saksi-saksi pendakwaan sehingga terkeliru dalam membezakan bahawa Syed Saddiq secara tidak jujur bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dana RM1 juta Armada.
“Syed Saddiq bukan didakwa atas tuduhan pecah amanah bersama-sama Rafiq Hakim, namun didakwa kerana bersubahat,” ujarnya.
Hujah beliau, tugas Mahkamah Rayuan perlu dilakukan secara kritikal, menyeluruh dan secara adil.
Namun hujah Wan Shaharuddin, malangnya Mahkamah Rayuan mengambil jalan pintas dengan mengambil hujah peguam responden ketika rayuan di Mahkamah Rayuan dan gagal menilaikan keseluruhan keterangan yang memihak
kepada perayu.
Hujah beliau, Mahkamah Rayuan juga perlu mempertimbang bahawa hakim bicara mempunyai kelebihan audio visual terhadap keterangan saksi-saksi ketika perbicaraan dan kelebihan ini tidak dimiliki oleh Mahkamah Rayuan.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada.
Perbuatan itu menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.
Syed Saddiq juga disabitkan atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Rayuan itu yang didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette
















