Ezlyn Ilyana menunjukkan gambar kenangan ibunya, Wan Khairul Safinah yang diambil ketika hari perkahwinannya.

SEBERANG JAYA – “Kami sebenarnya merancang untuk membawa mama bercuti sempena hari lahirnya 26 Disember ini dengan kereta baharu yang dibeli adik, tapi tak sangka dia pergi dalam keadaan tragis begini”.

Itu kata Ezlyn Ilyana Hardiha Shayrin Yezral, anak sulung mangsa dibunuh suami di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna, di sini.

Menurut Ezlyn Ilyana, dia menerima panggilan mengenai pembunuhan ibunya, Wan Khairul Safinah Ishak, 44, daripada adik keduanya sebelum bergegas ke lokasi dari tempat kerjanya.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa ibunya dua minggu lalu ketika membawa wanita itu keluar makan dan bermain boling bersama suaminya.

“Masa saya dan suami bertemu mama dua minggu lepas, dia kelihatan baik-baik sahaja dan tidak menunjukkan sebarang perubahan pada termasuk menceritakan sebarang masalah dengan bapa tiri.

“Malah, perbualan terakhir dengan mama menerusi WhatsApp pada Isnin lalu apabila dia meminta tambah nilai telefon. Biasanya mama menghantar mesej suara tetapi kali ini hanya mesej teks.

“Ketika itu saya tidak syak apa-apa namun hari ini saya tidak pasti sama ada mesej itu dihantar oleh mama atau bapa tiri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ezlyn Ilyana berkata, mereka lima beradik namun dua adiknya berusia 15 dan 16 tahun yang masih bersekolah tinggal di Kedah bersama bapa mereka manakala dia dan dua lagi adiknya sebelum ini tinggal bersama ibu mereka tetapi selepas wanita itu berkahwin dua tahun lalu, mereka masing-masing keluar menyewa rumah lain.

“Mama sebelum ini bekerja di kilang dan mengenali lelaki itu di tempat sama namun selepas berkahwin, bapa tiri melarang dia bekerja.

“Setahu kami, bapa tiri tidak bekerja dan mudah cemburu jika mama bercakap dengan sesiapa dan sebab itu dia tidak benarkan mama bekerja tetapi pada awal November lalu, mama memaklumkan dia kembali bekerja di kios sebuah pasar raya sebelum minta kami belikan dia telefon bimbit,” katanya.

Tambahnya, keluarga bapa tiri juga pernah membawa lelaki itu pulang ke Selangor dengan alasan untuk rawatan kerana dikatakan mempunyai masalah mental.

“Mama seorang pendiam dan jarang berkongsi masalah rumah tangga. Kadangkala hanya memaklumkan berlaku pertengkaran dengan bapa tiri namun tidak pernah menyatakan dirinya dipukul.

“Buat masa ini, kami tunggu proses bedah siasat selesai dan jenazah mama dijangka dibawa pulang ke kampung di Alor Setar untuk pengebumian esok,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Suami bunuh, simpan mayat isteri 4 hari sebelum serah diri

Suami bunuh isteri : Mangsa dikelar serta dilemaskan – Pakar Patalogi

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, seorang lelaki tampil ke balai polis berhampiran memaklumkan telah membunuh isterinya empat hari lalu di kediaman mereka.

Hasil pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat wanita itu di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan dengan kesan kelar pada bahagian leher.

Susulan itu polis memberkas suspek berusia 28 tahun yang juga pengganggur bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast