SEBERANG JAYA – Seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya empat hari lalu di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna, di sini, sebelum tampil ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan kejadian itu, hari ini.
Difahamkan, suspek berusia 28 tahun itu hadir sendiri ke balai polis pada pagi tadi dan mengaku berlaku kematian di rumah mereka di tingkat dua pangsapuri berkenaan.
Pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat wanita berusia 44 tahun itu di dalam bilik rumah berkenaan dengan kesan kelar pada bahagian leher dipercayai akibat senjata tajam.
Susulan itu, polis memberkas suspek yang juga pengganggur bagi membantu siasatan.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati pihak polis membawa suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk dadah serta ugutan jenayah itu ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Mangsa yang bekerja di sebuah kios pasar raya di sini, merupakan janda anak lima dan baru dua tahun mendirikan rumah tangga dengan suspek.
Difahamkan, pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan MalaysiaGazette kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















