Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim (dua dari kiri) menyantuni pengunjung yang mendapatkan rawatan di HTAA hari ini

KUANTAN – Sebanyak 600 unit lot parkir mekanikal dijangka  dibina di tapak parkir sedia ada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini dalam masa terdekat.

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim, ia merupakan inisiatif segera bagi menambah kapasiti parkir kenderaan di hospital terbabit sebelum parkir bertingkat siap dibina.

Beliau berkata, pembinaan parkir bertingkat di hospital itu merupakan antara perancangan yang telah diluluskan, selain pembinaan blok yang menempatkan Klinik Pakar Kanak-Kanak, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dewanbedah.

“Selain itu, proses pembinaan fasiliti wad Wanita dan Kanak-Kanak di Tanjung Lumpur juga sedang melalui kerja-kerja awalan dan mengikut jadual. Kini pada 2.7 peratus prosesnya dan dijangka siap Disember 2028,” katanya.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kerusi Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada Bahagian Kecemasan HTAA, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dr. Saiful Azlan Sharif

Dalam majlis berkenaan, Razali menyerahkan 108 unit kerusi kepada pihak hospital bagi kemudahan dan keselesaan pengunjung yang mendapatkan perkhidmatan di situ.

“Saya dapat maklumat mengenai isu kekurangan kerusi ini menerusi hantaran tular dalam laman Facebook pada 4 Disember lepas dan terus datang untuk meninjau sendiri  keadaannya. Keesokannya, kita menghantar 100 kerusi plastik untuk sementara sebelum sampai kerusi yang ditempah.

“Kita faham Kerajaan Persekutuan melalui proses untuk mendapatkan peruntukan dan sebagainya, akan mengambil masa yang panjang, jadi kita di peringkat negeri bersetuju untuk membiayai segera peruntukan untuk kerusi ini,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyeru agar orang ramai dapat bekerjasama untuk menjaga fasiliti yang disediakan.

Katanya, kerusi sama pernah disumbangkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebelum ini, namun beberapa unit kerusi terbabit sudah pun mengalami kerosakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast