Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 selepas hadir pendengaran hasil laporan bedah siasat pertama anaknya anggota pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 05 DESEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon tempoh tambahan bagi memfailkan afidavit balasan bantahan berhubung permohonan keluarga pelatih Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin yang menuntut laporan bedah siasat awal serta nota perubatan berkaitan kematian pemuda itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, yang mewakili Peguam Negara selaku responden, memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini dan memohon tempoh selama seminggu untuk menyediakan jawapan rasmi AGC.

Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membenarkan permohonan berkenaan dan mengarahkan AGC memfailkan afidavit balasan selewat-lewatnya pada 26 Disember, manakala pihak pemohon diberikan tempoh sehingga 9 Januari depan bagi memfailkan jawapan mereka.

Mahkamah turut memutuskan tarikh hujahan lisan hanya akan ditetapkan selepas kedua-dua pihak selesai proses pemfailan, selain menetapkan 19 Januari sebagai tarikh sebutan seterusnya.

Keluarga Syamsul diwakili peguam Aiman Haziq Saiful Kamal, manakala sebelum ini mereka dibantu peguam Datuk Naran Singh dalam beberapa prosiding berkaitan kes tersebut.

Keluarga Allahyarham Syamsul telah memfailkan permohonan itu susulan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Hospital Kota Tinggi, Johor, yang didakwa tidak memberikan sebarang maklum balas rasmi terhadap permintaan untuk mendapatkan laporan bedah siasat awal serta rekod perubatan.

Menurut Peguam, Naran Singh yang mewakili keluarga Allahyarham sebelum ini, walaupun laporan bedah siasat awal pernah dikongsi oleh pegawai penyiasat kepadanya, dokumen berkenaan sepatutnya diserahkan secara rasmi oleh pihak hospital dan bukan melalui pihak ketiga.

Syamsul meninggal dunia pada 28 Julai lalu ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor dalam keadaan yang pada awalnya dilaporkan sebagai mati mengejut selepas mengalami sawan.

Namun, ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, mendakwa terdapat kesan lebam dan kecederaan pada tubuh anaknya yang menurutnya tidak selari dengan punca kematian akibat sawan.

Susulan permohonan keluarga, Mahkamah Tinggi pada 26 Ogos lalu mengarahkan mayat Syamsul digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua.

Pada 28 November, Naran memaklumkan bahawa bedah siasat kedua mendapati mendiang mengalami kecederaan serius di bahagian leher ketika masih hidup.

Berikutan penemuan itu, AGC telah mengklasifikasikan semula kematian Syamsul sebagai kes bunuh dan mengarahkan pihak polis untuk meneruskan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. AGC sudah maklum ada munasabah pada permohonan Pihak Syamsul Haris….
    Kenapa nak bantah Dan menyokong Hospital Kota Tinggi yg terang² kesalahan serious dalam laporan oleh Dr George

Comments are closed.