RT Rajasekaran

KUALA LUMPUR – Ahli Kerja Pusat MIC, Datuk RT Rajasekaran menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan, yang sebelum ini mendakwa MIC ‘terdesak’ dan gagal membawa kemajuan kepada masyarakat India sepanjang lebih enam dekad berada dalam kerajaan.

Rajasekaran mendakwa serangan tersebut dilihat sebagai cubaan DAP mengalihkan perhatian daripada kegagalan sendiri selepas hampir tiga tahun menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan berterusan menuding jari kepada MIC.

“ADUN Kota Kemuning, sebelum anda bercakap tentang kononnya MIC terdesak, lebih baik lihat dahulu isu-isu tempatan yang membelenggu rakyat di kawasan yang anda wakili.

“Sumbangan MIC sepanjang lebih 60 tahun tidak boleh dipadam atau diperkecilkan kami telah bina asas pendidikan, pembangunan sosioekonomi dan pembasmian kemiskinan masyarakat India sejak merdeka.

“Jika mahu menilai MIC selama 60 tahun, penilaian itu perlu menyeluruh. Soalan yang wajar ditanya ialah apa yang MIC telah lakukan daripada memperkasakan sekolah-sekolah SJKT, menubuhkan institusi pendidikan tinggi, sehinggalah membuka laluan mobiliti sosial kepada anak-anak keluarga miskin India,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Logo Parti DAP ketika di Ibu Pejabat DAP, Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 MAC 2025.

Beliau mengulas kenyataan Preakas yang menuduh MIC gagal memperluas akses pendidikan dan biasiswa secara saksama selain gagal menangani kemiskinan sistematik serta perumahan.

Preakas juga mendakwa MIC tidak mengoptimumkan peranan AIMST University dan Maju Institute of Educational Development (MIED).

Namun kata Rajasekaran, penubuhan AIMST, Tafe Kolej dan MIED  antara sumbangan utama MIC dalam merapatkan jurang pendidikan khususnya bagi pelajar yang gagal mendapat tempat di universiti awam.

Menurut beliau, AIMST diwujudkan khusus untuk pelajar yang tersisih daripada sistem pendidikan arus perdana dengan memberi peluang kepada pelajar B40, menyediakan pinjaman kepada pelajar M40 serta membenarkan pelajar miskin meneruskan pengajian walaupun berdepan kekangan kewangan.

Beliau berkata sehingga kini, kira-kira 47,000 pelajar telah melanjutkan pengajian di kolej komuniti Tafe, hampir 10,000 pelajar di AIMST dengan lebih 1,5000 pelajar dalam kalangan kaum India terutamanya golongan B40 dan M40 berjaya bergelar doktor.

“MIED juga telah membantu memberikan pinjaman kepada lebih 15,000 pelajar dan biasiswa.

“Untuk makluman DAP, tahun ini sahaja kami sudah beri lebih RM18 juta biasiswa kepada semua kaum di negara ini,” ujarnya.

Mengulas aspek kewangan, Rajasekaran menjelaskan, ketika AIMST dibangunkan, universiti itu menanggung pinjaman bank berjumlah kira-kira RM400 juta, namun komitmen tersebut telah diselesaikan sepenuhnya.

Katanya, dengan hutang bank dilangsaikan, tanah dan aset AIMST kini dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion, mencerminkan pelaburan jangka panjang yang mampan demi masa depan pendidikan.

Selain pendidikan, Rajasekaran berkata, MIC juga telah membawa transformasi sosioekonomi yang menyeluruh kepada masyarakat India dan kaum lain, termasuk usaha pembasmian kemiskinan, kebajikan komuniti, peluang keusahawanan, perumahan dan peningkatan taraf hidup sejak puluhan tahun lalu.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan prestasi DAP dalam kerajaan walaupun parti itu mempunyai menteri dan timbalan menteri serta memegang jawatan strategik namun pelbagai isu tidak ditangani.

“Isu Akta Pembaharuan Bandar (URA), kebajikan pemandu lori, tekanan cukai, pendidikan dan isu agama dan banyak lagi terus membelenggu rakyat. Semua menteri dan timbalan menteri ada jawatan dan kuasa, tetapi apakah penyelesaian sebenar yang telah dilaksanakan?,” soalnya.

Menurutnya, kegagalan menangani isu-isu tersebut telah mencetuskan kemarahan rakyat sehingga diterjemahkan melalui keputusan pilihan raya, apabila DAP kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

“Daripada bertanya apa sumbangan MIC, lebih baik jelaskan apa yang telah dilakukan DAP sejak menjadi kerajaan. Apa yang terkandung dalam manifesto dan apa yang benar-benar telah dilaksanakan?

“Jangan cuba alih kegagalan pelaksanaan dasar kepada pihak lain termasuk perdana menteri. Sebagai kerajaan, tanggungjawab utama ialah bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat hari ini tahu menilai,” katanya.

Katanya lagi, MIC dan MCA berjaya membina institusi pendidikan untuk rakyat selama lebih 60 tahun namun DAP pula lebih mengutamakan pembinaan ibu pejabat parti berbanding membangunkan institusi untuk rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast