Oleh Ismail Hashim Yahaya
PERDEBATAN mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dalam wacana politik Malaysia memperlihatkan bagaimana isu ekonomi sering berfungsi bukan sebagai persoalan teknikal tetapi sebagai medan semiotik di mana makna, identiti dan kuasa dipertarungkan.
ART sebagai perjanjian perdagangan dua hala yang muncul dalam konteks kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang pada asasnya ialah mekanisme untuk merunding semula akses pasaran dan mengurangkan risiko tindakan unilateral AS terhadap Malaysia.
Namun dalam politik domestik, ART tidak bergerak sebagai dokumen ekonomi. Ia bergerak sebagai simbol. Ia menjadi objek budaya yang sarat dengan makna politik dan makna itu jauh lebih menentukan daripada kandungan teknikal perjanjiannya.
Untuk memahami fenomena ini, kita perlu kembali kepada struktur sejarah politik Melayu. Dalam imaginasi kolektif Melayu ancaman tidak semestinya datang dalam bentuk ketenteraan. Ia sering muncul melalui perjanjian. Penjajahan British misalnya, tidak bermula dengan perang besar-besaran, tetapi dengan tandatangan.
Perjanjian Pangkor 1874 menjadi titik mula campur tangan British dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Pengalaman sejarah ini membentuk satu struktur emosi yang melihat perjanjian sebagai pintu masuk kepada dominasi luar.
Maka apabila muncul ART ia tidak dibaca sebagai teks ekonomi yang neutral. Ia dibaca melalui lensa sejarah yang penuh trauma. Ia dibaca sebagai kemungkinan pengulangan episod lama yang tidak pernah benar-benar sembuh dalam ingatan bangsa.
Di sinilah wujud satu ironi besar dalam wacana ART. Berdasarkan teks sebenar Perjanjian Perdagangan Timbal Balik antara Malaysia dan AS serta kenyataan rasmi kerajaan, tiada satu pun klausa dalam dokumen tersebut yang mencabuli atau menggantikan hak Bumiputera.
Tiada peruntukan yang memberikan status istimewa kepada syarikat AS dan tiada syarat yang membatalkan dasar Bumiputera dalam kerajaan atau GLC.
Artikel-artikel teknikal yang dibahaskan termasuk Artikel 6.2, sebenarnya sejajar dengan standard dagang global dan tidak secara langsung menyentuh atau mengubah hak istimewa orang Melayu.
Malah kerajaan menegaskan bahawa dasar Bumiputera kekal sebagai garis merah dalam rundingan.
Namun ketiadaan ancaman dalam teks tidak menghalang kewujudan ancaman dalam imaginasi politik. Di sinilah bezanya dokumen ekonomi dengan dokumen simbolik: fakta tidak semestinya membatalkan ketakutan dan angka tidak semestinya memadam memori sejarah.
Konteks global menambahkan lagi lapisan makna. Kenaikan tarif oleh AS di bawah dasar perdagangan timbal balik bukan sekadar tindakan ekonomi. Ia dibaca sebagai hukuman terhadap negara kecil.
Ia dibaca sebagai tekanan unilateral oleh kuasa besar. Dalam wacana Melayu, tindakan seperti ini mudah diterjemahkan sebagai penghinaan terhadap maruah negara.
Maka ART walaupun secara teknikalnya ialah respons Malaysia terhadap tekanan tarif AS akan dibaca sebagai tanda bahawa Malaysia sedang tunduk kepada kuasa luar. Ia menjadi simbol bahawa kedaulatan negara sedang terhakis.
Apabila ART dibawa ke pentas politik yang sarat dengan simbolisme Melayu seperti pertemuan atau konvensyen 153 bertujuan membincangkan tafsiran dan kedudukan Perkara 153 yang berkaitan dengan isu identiti dan kedudukan Melayu, maknanya menjadi lebih pekat.
Dalam ruang seperti ini, ART tidak lagi berfungsi sebagai perjanjian perdagangan. Ia menjadi alat retorik untuk membina naratif ancaman. Ia menjadi simbol bahawa bangsa sedang dikhianati.
Ia menjadi bukti bahawa pemimpin tidak lagi mempertahankan maruah. Naratif seperti ini tidak memerlukan perincian teknikal; ia hanya memerlukan resonans budaya dan ART menyediakan resonans itu.
Orang Melayu awam tidak membaca teks ART. Mereka tidak meneliti klausa tarif atau mekanisme rundingan AS. Mereka membaca makna yang dilekatkan kepada ART.
Mereka membaca bahasa yang digunakan untuk membingkaikannya. Mereka membaca tanda-tanda yang mengingatkan mereka kepada sejarah kehilangan kuasa.
Dalam wacana ini, ART menjadi simbol kepada sesuatu yang jauh lebih besar daripada dirinya. Ia menjadi tanda bahawa bangsa sedang terancam. Ia menjadi tanda bahawa pemimpin tidak lagi melindungi maruah. Ia menjadi tanda bahawa kedaulatan sedang tergugat.
Maka apabila tanda-tanda ini digabungkan, ia mencipta naratif yang sangat kuat: naratif bahawa kerajaan hari ini tidak boleh dipercayai bahawa bangsa sedang berada dalam bahaya, dan bahawa perpecahan adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan maruah.
Naratif seperti ini berfungsi kerana ia menyentuh akar psikologi Melayu. Melayu mempunyai sejarah panjang kehilangan kuasa melalui perjanjian. Melayu mempunyai trauma kolektif terhadap campur tangan luar.
Melayu mempunyai ketakutan mendalam terhadap pengkhianatan dari dalam. ART mengaktifkan ketiga-tiga ketakutan ini serentak. Ia menggerakkan rasa curiga terhadap kuasa luar, rasa marah terhadap pemimpin sendiri, dan rasa cemas terhadap masa depan bangsa.
Dalam keadaan ini ART bukan lagi isu ekonomi. Ia menjadi isu makna — makna tentang siapa yang menjaga bangsa, siapa yang menggadaikannya, dan siapa yang layak memimpin.
Namun naratif seperti ini juga mempunyai kesan sampingan yang besar. Ia mencipta polarisasi dalam kalangan masyarakat Melayu. Ia menghakis keyakinan terhadap institusi negara.
Ia membentuk persepsi bahawa bangsa Melayu sentiasa berada dalam keadaan terancam, sentiasa menjadi mangsa, dan sentiasa menunggu pengkhianatan.
Dalam jangka panjang, naratif seperti ini tidak membina kekuatan kolektif. Ia membina ketakutan. Ia tidak membina keupayaan. Ia membina kecurigaan. Ia tidak membina masa depan. Ia membina nostalgia terhadap masa lalu yang ideal tetapi tidak wujud dalam realiti.
Di sinilah muncul keperluan untuk membina kerangka naratif pemulihan keyakinan Melayu. Pemulihan ini tidak boleh bergantung pada angka atau statistik semata-mata.
Ia perlu berasaskan makna yang lebih kukuh daripada makna yang digunakan untuk menakutkan. Ia perlu berasaskan naratif yang mengalihkan fokus daripada ketakutan kepada kemampuan, daripada ancaman kepada peluang, daripada trauma kepada transformasi.
Naratif ini perlu menegaskan bahawa Melayu bukan bangsa yang sentiasa menjadi mangsa sejarah bahkan bangsa yang mampu membina masa depan melalui pendidikan, inovasi dan perpaduan.
Ia perlu menegaskan bahawa kedaulatan bukan hanya soal menolak tekanan luar lebih jauh lagi membina kapasiti dalam negara dalam bidang ekonomi, budaya dan teknologi. Ia perlu menegaskan bahawa maruah bukan hanya soal mempertahankan simbol,tetapi soal membina realiti yang lebih kukuh.
Naratif pemulihan keyakinan Melayu perlu berasaskan keupayaan dan bukan ketakutan. Ia perlu berasaskan maruah yang dibina melalui tindakan kolektif, bukan maruah yang rapuh dan mudah tergugat oleh simbol.
Ia perlu berasaskan masa depan yang dibentuk melalui visi bukan masa lalu yang dibentuk melalui trauma. Dalam konteks ini, ART boleh menjadi titik tolak untuk membina naratif baharu bukan naratif ancaman tetapi naratif keupayaan. Bukan naratif kehilangan sebalinya naratif pembinaan. Bukan naratif perpecahan tetapi naratif perpaduan.
Penulis ialah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa yang mendekati isu‑isu politik melalui analisis semiotik dan naratif, dengan menekankan bagaimana tanda, makna, dan struktur wacana membentuk persepsi kedaulatan dan kuasa dalam masyarakat.
-MalaysiaGazette
















