KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd akan melanjutkan hari terakhir perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya Datuk Mohd Muazzam Mohamed, kepada 31 Dis, 2025, daripada tarikh asal pada hari ini.
Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini, bank berkenaan menyatakan perkara itu berkaitan dengan pengumuman bertarikh 24 Okt, 2025 mengenai peletakan jawatan Mohd Muazzam.
“Lanjutan itu bertujuan memastikan peralihan kepimpinan yang lancar serta kelangsungan operasi,” katanya.
Laporan sebelum ini menyatakan Mohd Muazzam telah meletak jawatan selepas berkhidmat selama 10 tahun dengan kumpulan itu, termasuk tujuh tahun sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan.
Peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 7 Jan, 2026 manakala hari terakhir perkhidmatannya pada hari ini.
Sejak menyandang tugas itu pada 2018, beliau telah menerajui Bank Islam menerusi tempoh transformasi dan pertumbuhan digital yang penting, menyusun semula perkhidmatan dengan menyepadukan teknologi bersama prinsip-prinsip kewangan Islam.
Mohd Muazzam turut menerajui strategi transformasi digital kumpulan ketika memulakan inisiatif e-pembayaran dan pelancaran Be U — aplikasi perbankan digital berasaskan ‘cloud-native’ atau teknologi awan pertama di negara ini.
Transformasi digital itu membolehkan perniagaan kalis masa depan, sekali gus mengubah cara kumpulan perbankan itu menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan. – BERNAMA
















