Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Desakan DAP agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf kerajaan berpotensi mengetepikan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, prinsip Perlembagaan tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya kerana ia menjadi teras pembinaan negara sejak sekian lama.

“Perlembagaan Persekutuan menetapkan rangka dasar pendidikan nasional, termasuk kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Bagaimanapun Malaysia merupakan satu-satunya negara menerima sekolah vernakular sebagai ‘sekolah aliran kebangsaan’.

“STPM setara dengan A-Level, manakala SPM diiktiraf sebagai kelayakan asas untuk melanjutkan pengajian tinggi dan memasuki pasaran kerja. Kedua-duanya diiktiraf institusi pendidikan tempatan dan antarabangsa.

“UEC, walaupun mempunyai kekuatan tertentu, tidak melalui penilaian yang selaras dengan standard nasional dan pengiktirafannya secara sepihak boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan integriti sistem,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming kerana meminta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan mengenai pengiktirafan UEC.

Kemudian, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Howard Lee pula menyifatkan kenyataan Dr Akmal mengenai pengiktirafan UEC sebagai memutar belit dan berasaskan sentimen untuk menakut-nakutkan rakyat.

Fariz juga mendakwa, tindakan DAP yang cuba mengabaikan ketertiban proses dasar Perlembagaan Persekutuan dari aspek pendidikan negara merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Pengiktirafan UEC bukan sekadar keputusan pentadbiran, ia juga menyentuh penyelarasan standard akademik nasional.

“Ia juga merangkumi pematuhan terhadap Akta Pendidikan 1996 dan keserasian dengan hala tuju negara dalam konteks perpaduan serta identiti kebangsaan,” katanya.

Menurut Fariz, desakan agar keputusan dibuat di bawah tekanan politik merupakan tindakan meremehkan integriti proses dasar negara.

“Malah ia mencerminkan ketidakadilan kepada pihak-pihak berkepentingan yang telah lama bekerja dalam kerangka undang-undang.

“Naratif yang cuba dibentuk Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menggambarkan seolah-olah keputusan pengiktirafan boleh dilakukan serta-merta jika ada kesediaan politik.

“Pendekatan sebegini bukan sahaja mengaburi realiti dasar negara, bahkan menjejaskan pemahaman masyarakat terhadap kepentingan mengekalkan sistem pendidikan yang seragam dan berteraskan Perlembagaan,” katanya.

Selain itu, katanya, pendidikan tidak boleh diseret menjadi pentas retorik populis yang meminggirkan analisis fakta dan kehendak perundangan.

“Sistem pendidikan adalah institusi negara bukan instrumen untuk meraih perhatian politik.

“Sebarang cadangan perubahan mestilah melalui penelitian objektif, proses libat urus yang mendalam dan penghormatan menyeluruh terhadap struktur perundangan negara.

Katanya lagi, dasar pendidikan nasional tidak boleh dipinda mengikut tuntutan emosi atau tekanan politik dan keputusan berkaitan UEC hanya boleh dipertimbangkan melalui proses rasmi yang ketat.

“Saya wakil kepada Pemuda UMNO kekal terbuka terhadap perbincangan berfakta, namun saya tidak akan berkompromi dengan sebarang gesaan yang mencabar peruntukan undang-undang atau cuba memintas prosedur dasar rasmi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast