KUALA LUMPUR – Penduduk Gaza kini berdepan mimpi ngeri yang semakin buruk dengan kehadiran musim sejuk.
Islamic Relief berkata, hujan lebat hari ini menyebabkan khemah dan tempat perlindungan dibanjiri air air serta limpahan najis.
Menurut seorang petugas Islamic Relief di Gaza, sistem sanitasi yang musnah akibat pengeboman Israel menyebabkan ramai terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dijangkiti penyakit kulik dan wabak.
“Situasinya sangat dahsyat dan jurang antara keperluan dan bantuan yang sampai adalah terlalu besar. Di tempat agihan, ribuan orang yang terdesak datang kepada kami, tetapi bekalan tidak cukup untuk semua yang memerlukan.
“Orang ramai masih kelaparan sehingga terpaksa makan makanan haiwan atau merebus tumbuhan liar kerana kekurangan makanan. Kekurangan bekalan perubatan pula menyebabkan kecederaan yang boleh dirawat menjadi punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Islamic Relief, cuaca ekstrem kini menyukarkan lagi pergerakan penduduk dan operasi bantuan kemanusiaan.
Analisis baharu menunjukkan bahawa dalam tempoh dua bulan sejak gencatan senjata diumumkan, purata hanya 128 buah trak sehari yang berjaya masuk ke Gaza, jauh daripada jumlah 600 trak sehari yang dipersetujui.
Penduduk Gaza kini dibanjiri air dan mereka berdepan kelaparan sedangkan khemah baharu, ubat-ubatan dan bantuan musim sejuk masih tersekat hanya beberapa kilometer dari sempadan.
Krisis dijangka bertambah buruk jika Ribut Byron melanda Gaza dalam tempoh beberapa hari lagi, dengan hujan luar biasa yang boleh mengancam ratusan ribu nyawa. Kanak-kanak dan warga emas berisiko tinggi mengalami hipotermia dan penyakit bawaan air yang berbahaya. -MalaysiaGazette
















